Sunday, November 27, 2022

Tiga lelaki ditahan, terbang dron tanpa sebarang permit di pusat penamaan calon

Secara Rawak

KUCHING: Polis menahan tiga lelaki kerana menerbangkan dron tanpa sebarang permit yang sah di kawasan larangan semasa hari penamaan calon semalam.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, kejadian pertama berlaku di Daerah Kuching, dalam pusat penamaan calon Parlimen Petra Jaya.

Katanya, suspek, 40, ditangkap dan dirampas sebuah drone miliknya di sebuah rumah Taman Peaceful, Jalan Semarak, Petra Jaya pada semalam kira-kira jam 9.20 pagi.

“Kejadian kedua berlaku di Daerah Serian iaitu kawasan pusat penamaan calon Parlimen Serian.

“Pihak polis telah menahan dua lelaki umur lingkungan 30-an di kawasan penamaan calon Parlimen Serian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, turut dirampas, seunit dron, seunit alat kawalan jauh dan seunit telefon bimbit dari kedua-dua suspek.

Ekoran kejadian tersebut, katanya, pihak polis telah membuka dua kertas siasatan di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan/ Peraturan 140 Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam (PPPN) 2016.

“Ketiga-tiga suspek yang ditangkap telah dibebaskan dengan jaminan polis setelah siasatan selesai,” ujarnya.

Jelasnya, kertas siasatan akan dilengkapkan sepenuhnya dengan kadar segera untuk dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi mendapatkan arahan dan keputusan selanjutnya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru