Misi rampas Lubok Antu

0
10
Gabungan Parti Sarawak

PENGUMUMAN calon yang diberikan mandat oleh GPS telah dilakukan Khamis lepas. Kesemua 31 kerusi Parlimen di Sarawak, sah ditandingi oleh GPS. 

Sekiranya tiada perubahan pada minit-minit akhir semasa hari penamaan calon hari ini, maka kesemua calon yang terpilih boleh menarik nafas lega seketika. 

Usai penamaan calon, kempen pun terus bermula, iaitu selama 14 hari. Ujian sebenar bermula selesai proses penamaan calon bagi kesemua calon yang dipilih mewakili parti masing-masing. 

Pada PRU-15 ini, seramai 14 muka baharu dipilih oleh GPS bagi memastikan proses kesinambungan kepimpinan dalam parti masing-masing terus berlaku. 

Dinamika serta naratif politik di Bumi Kenyalang agak kurang berubah, jika dibandingkan dengan Semenanjung Malaysia. 

Perkara ini amat penting untuk difikirkan oleh para aktor politik, agar politik di Bumi Kenyalang ini tidak terperap di takuk politik lama. 

Oleh itu, penglibatan golongan muda amat digalakkan kerana mereka ini merupakan generasi pewaris kemimpinan dalam sesebuah negara. 

Bagi kawasan Parlimen Lubok Antu misalnya, GPS-PRS memilih Roy Angau Gingkoi mewakili gabungan itu pada PRU kali ini. Roy, seorang peguam merupakan ahli berdaftar PRS. 

Dikhabarkan, beliau tidak begitu dikenali di kawasan Parlimen Lubok Antu terutama di kawasan Dun Engkilili. Tidak ramai rakyat akar umbi yang betul-betul mengenali beliau di kawasan Parlimen ini. 

Maka, persoalannya, adakah GPS-PRS meletakkan calon yang tepat serta diterima oleh akar umbi untuk bertanding di Parlimen Lubok Antu? 

Apakah pertimbangan yang telah dilakukan dengan meletakkan calon yang kurang popular dalam kalangan akar umbi bagi Parlimen Lubok Antu? 

Adakah faktor calon tidak begitu penting jika dibandingkan dengan faktor parti? Sama-sama kita renung dan rungkai perkara ini.

Mengimbau kembali peristiwa pada PRU-14, apabila tamparan hebat diberikan kepada PRS serta mendiang presiden PRS, Tan Sri James Jemut Masing apabila tidak mendengar rintihan akar umbi di kawasan Parlimen Lubok Antu, mengenai calon yang layak dicalonkan oleh PRS pada masa itu.

Hilang kerusi

Tindakan ini mengakibatkan PRS kehilangan kerusi Parlimen Lubok Antu kepada calon Bebas dalam pertandingan tiga penjuru.

Kekecewaan akar umbi pada masa itu disebabkan penyandang ketika itu iaitu Datuk William Nyalau Badak digugurkan, dan PRS mencalonkan Robert Pasang Alam yang tidak dikenali penduduk akar umbi. 

Undi protes berlaku dan kemenangan memihak kepada Jugah Muyang yang memperoleh 1,059 undi majoriti. 

Adakah peristiwa ini tidak memberi pengajaran kepada PRS? Adakah pada PRU-15 ini, GPS-PRS boleh melakukan ‘silap mata’ bagi memastikan kemenangan memihak kepada mereka? 

Pada PRU kali ini, pertandingan lebih tiga penjuru sudah pasti berlaku di Parlimen Lubok Antu. Penyandang, Jugah Muyang sah mempertahankan kerusi itu atas tiket Bersatu/Perikatan Nasional. 

PSB pula mempertaruhkan Adun Engkilili, Dr Johnical Rayong, sementara PH-PKR pula mencalonkan Langga Lias untuk berentap bagi mendapatkan mandat rakyat pada PRU-15 ini. 

Sudah pasti, akan ada calon Bebas yang mencuba nasib dalam perebutan kuasa bagi kawasan Parlimen ini. 

Siapakah yang mempunyai kelebihan antara keempat-empat calon yang sudah mengesahkan akan bertanding pada PRU-15 ini?

Tunggu analisis seterusnya dalam keluaran lain.

Kehangatan suhu politik di kawasan Parlimen Lubok Antu kian terasa, dan pasti memuncak sehingga ke hari pengundian pada 19 November nanti.

Strategi kempen serta komunikasi politik yang berkesan sudah pasti dapat memberi nilai tambah bagi mencerahkan lagi peluang menang dalam PRU-15. 

Rampas Lubok Antu

GPS-PRS sudah memuktadkan keputusan mereka mengenai calon yang menggalas tanggungjawab untuk merampas kembali kerusi Parlimen Lubok Antu. 

Kemungkinan perkiraan mengenai faktor parti lebih dominan bagi GPS-PRS membuat keputusan mengenai calon.

Ingat, penduduk akar umbi di Lubok Antu bijak dalam membuat keputusan. 

Berdasarkan keputusan PRU-14, jelas menunjukkan faktor calon adalah dominan dalam menentukan corak pengundian di Parlimen Lubok Antu. 

Persoalannya, adakah calon akan terus menjadi penanda aras sokongan penduduk akar umbi kepada parti-parti politik yang bertanding?

Sama-sama kita nantikan keputusan PRU-15 kelak.

Kemenangan GPS-PRS amat penting bagi kerusi Parlimen Lubok Antu, kerana ia dapat memastikan peranan GPS sebagai king maker dalam politik peringkat nasional dapat direalisasikan. 

Tugas berat sudah pasti menanti calon GPS-PRS pada PRU-15 kali ini, bagi memastikan impian untuk menyumbang satu kerusi kepada parti.

Kerjasama satu pasukan semua parti komponen dalam GPS dapat merealisasikan perkara ini. 

Semangat sebagai satu pasukan amat penting dalam percaturan politik bagi menghadapi pilihan raya. Pastikan tidak ada tikam belakang dalam kalangan parti komponen. 

Justeru, kehangatan suhu politik di Parlimen Lubok Antu ini sudah pasti membara usai proses penamaan calon nanti. 

Tempoh 14 hari berkempen akan terus menjadi medan mempromosikan diri bagi menarik sokongan dan dukungan pengundi, yang dapat diterjemahkan dalam peti undi. 

Kini, persoalan besar harus difikirkan oleh GPS-PRS adalah, mampukah GPS-PRS menawan kembali Parlimen Lubok Antu pada PRU-15 ini? 

Perkara ini penting kerana GPS memerlukan kemenangan besar bagi memastikan kuasa menjadi king maker dapat dicapai.