Sunday, November 27, 2022

Maritim Bintulu tahan bot nelayan Vietnam, rampas hasil laut 25,000 kg

Secara Rawak

BINTULU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Bintulu telah menahan dua bot nelayan asing dipercayai Vietnam pada jarak lebih kurang 126 batu nautika dari Kuala Kemena, Bintulu sekitar jam 10 pagi, Khamis.

Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata, kedua-dua bot nelayan asing itu dikesan sedang leka menangkap ikan secara beriringan dan disyaki menangkap ikan secara tunda ganding sehinggakan tidak menyedari kehadiran aset Maritim Malaysia.

Dua bot nelayan Vietnam yang ditahan pada jarak lebih kurang 126 batu nautika dari Kuala Kemena, Bintulu sekitar jam 10 pagi, Khamis.

Menurutnya, hasil pemeriksaan yang dilakukan, mendapati 20 orang kru termasuk tekong pada bot pertama dan tiga orang kru termasuk tekong pada bot yang kedua berumur dalam lingkungan 20 hingga 48 tahun.

Katanya, kesemua kru yang ditahan tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri serta gagal mengemukakan lesen bot yang sah serta tidak mempunyai kebenaran untuk melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan negara.

Dua bot nelayan Vietnam yang ditahan pada jarak lebih kurang 126 batu nautika dari Kuala Kemena, Bintulu sekitar jam 10 pagi, Khamis.

“Muatan hasil laut pelbagai kategori seperti ikan campur, ikan baja dan sotong berjumlah lebih kurang 25 ribu kilogram berjaya disita bersama-sama dengan vesel, peralatan menangkap ikan yang dianggarkan bernilai RM 2.5 juta.

Tambah Mohd Khairol lagi, kesemua kru beserta bot nelayan ditahan dan diiring masuk ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Perikanan 1985 yang memperuntukan hukuman denda tidak melebihi enam juta ringgit bagi empunya atau nakhoda dan enam ratus ribu bagi taip-tiap anggota kru jika disabitkan bersalah.

Kaedah penangkapan ikan secara tunda ganding adalah kaedah yang tidak dibenarkan di Malaysia kerana implikasi terhadap ekosistem marin sangat besar, ujarnya.

“Ini adalah kerana, kebiasaanya kaedah ini melibatkan kawasan tangkapan yang besar serta menangkap hasil laut iaitu ikan-ikan yang masih belum matang.

Malahan, ia juga boleh merosakkan batu karang sekiranya ditangkap dikawasan laut yang tidak dalam, katanya lagi.

Maritim Malaysia memandang serius berkaitan isu tersebut dan pada tahun ini Maritim Malaysia, khasnya Zon Maritim Bintulu telah menahan sembilan buah bot nelayan asing iaitu dari negara Vietnam.

Maritim Malaysia mengingatkan kesemua komuniti maritim supaya mematuhi segala peraturan undang-undang sebelum melakukan sebarang aktiviti di laut dan amat mengalu-alukan maklumat serta aduan daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan ataupun kemalangan di laut secara terus ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu (086-314 254) / Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak (082-432544) yang beroperasi 24 jam.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru