Kerusi panas majoriti Iban

0
6

DICK LEMBANG DUGUN

TINGGAL beberapa hari lagi penamaan calon bagi PRU-15 bakal tiba.

Kini debaran kian memuncak bagi pelobi dalam mana-mana parti politik yang bakal bertanding pada PRU-15 kali ini. 

Sarawak mempunyai 31 kerusi Parlimen yang bakal dipertandingkan pada PRU- 15 ini.

Kesemua 31 kerusi ini amat bermakna dan cukup signifikan untuk menentukan blok parti yang bakal menubuhkan kerajaan usai PRU-15 nanti. 

Dominasi GPS dalam politik Sarawak tidak dapat dinafikan apabila memenangi 76 daripada 82 kerusi Dun pada PRN-12 Sarawak.

Namun begitu, ada sesetengah kerusi Dun yang dimenangi GPS mendapat kemerosotan jumlah undi majoriti. 

Rentetan itu, dua kawasan Parlimen bakal menyaksikan pertandingan sengit, mengambil kira keputusan kerusi Dun yang merosot jumlah undi majoriti iaitu, Parlimen Sri Aman dan Parilmen Lubok Antu. 

Pada PRU-15 ini, sudah pasti GPS yang diwakili parti komponen iaitu PRS akan mengemukakan calon muka baharu bagi kedua-dua kerusi Parlimen ini. 

Ini kerana, kedua-dua kerusi Parlimen ini tidak disandang oleh GPS.

Parlimen Sri Aman dimenangi oleh Datuk Masir Kujat pada PRU-14 lepas atas tiket BN/ PRS, namun keluar parti dan menyertai PSB.

Namun, beliau tidak kekal lama bersama PSB dan keluar menjadi ahli Parlimen Bebas. 

Bagi Parlimen Lubok Antu, calon Bebas menang pada PRU-14 dan menyertai PKR.

Namun begitu, setelah berlaku pergolakan politik tanah air, Jugah Muyang keluar PKR dan kembali sebagai ahli Parlimen Bebas. 

Kemenangan Jugah Muyang sebagai calon bebas pada PRU-14 kerana undi protes dari akar umbi terhadap PRS dalam pemilihan calon.

Kesilapan dalam membuat keputusan mengenai calon yang diketengahkan pada masa itu, menyebabkan PRS kehilangan kerusi Parlimen Lubok Antu. 

Dua lagi kerusi yang bakal ditandingi GPS melalui PRS iaitu di Parlimen Julau dan Selangau — juga tidak kurang juga kehangatannya pada PRU-15 ini.

Bagi Parlimen Julau, Presiden PRS, Datuk Joseph Salang dikatakan ingin sekali lagi bertanding bagi merampas kerusi tersebut daripada penyandang Datuk Larry Sng yang kini menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM). 

Persoalannya, adakah presiden PRS ini yang telah ditolak oleh rakyat akar umbi di Julau pada PRU-14 mampu untuk diterima balik oleh akar umbi di Julau?

Sama-sama kita nantikan apa-apa yang bakal berlaku di Julau. 

Justeru, bagi Parlimen Selangau, PRS juga bakal mengemukakan muka baharu bagi memastikan kerusi Parlimen Selangau dapat kembali kepada mereka setelah kerusi itu dimenangi oleh Baru Bian pada PRU-14 atas tiket PKR. 

Namun begitu, dikhabarkan Baru Bian tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Selangau, sebaliknya akan mencuba nasib di Parlimen Lawas atas tiket PSB. 

Calon yang bakal diketengahkan oleh PRS bagi Parlimen Selangau pada PRU-15 ini sudah pasti akan menggalas tanggungjawab besar bagi memastikan kerusi tersebut kembali kepada PRS. 

Tidak ketinggalan bagi Parlimen Saratok, yang bakal menyaksikan persaingan sengit antara GPS melalui parti komponennya PDP yang bakal menentang penyandang Datuk Ali Biju. 

Senario politik di Parlimen Saratok agak menarik.

Pada PRN-12 tahun lepas, Ali Biju menarik diri bertanding yang memberikan kemenangan kepada GPS untuk kerusi Dun Kerian. 

Namun begitu, PDP telah menamakan calon mereka untuk bertanding pada PRU- 15 bagi Parlimen Saratok.

Sudah pasti Parlimen Saratok bakal menyajikan kehangatan persaingan pada PRU kali ini. 

Yang penting ialah berkenaan bakal calon yang dikemukakan oleh parti komponen GPS ini yang bakal menentukan kemenangan boleh diperoleh bagi kelima-lima kerusi majoriti Iban ini pada PRU-15. 

Kesilapan dalam menentukan calon sudah pasti akan mengundang padah.

Pengalaman pada PRU-14 seperti di kawasan Parlimen Lubok Antu harus dijadikan pengajaran bagi parti-parti politik dalam menentukan calon terutama PRS. 

Calon yang diterima oleh akar umbi di sesebuah kawasan dan mempunyai kredibiliti harus menjadi penanda aras kepada parti politik untuk menentukan calon. 

Harus diingat bahawa, GPS mempunyai peranan yang amat penting sebagai “penentu” bagi menentukan blok parti politik yang dapat membentuk Kerajaan Persekutuan pasca-PRU-15 nanti. 

GPS merupakan gabungan politik yang boleh menyumbang kestabilan kepada politik tanah air pasca-PRU-15 nanti.

Namun begitu, kemenangan besar dan dominan GPS amat diperlukan agar dapat memberikan kuasa untuk membuat tawaran terbaik bagi anak-anak Sarawak. 

Sudah pasti kerusi majoriti Iban di Sarawak ini amat penting untuk dimenangi oleh GPS pada PRU-15 ini. 

Setakat ini, kelebihan memihak kepada GPS mengambil kira komponen parti pembangkang di Sarawak yang tidak mempunyai solidariti dan sokongan serta dukungan akar umbi yang kuat.