Tawaran jadi Presiden FAS

0
18

KUCHING: Individu yang berminat dan berhasrat menggalas tanggungjawab sebagai presiden Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) merangkap pengerusi Sarawak United FC (SUFC) diminta untuk berbincang dengan pengurusan badan induk tersebut.

Presiden FAS Datuk Posa Majais turut mengingatkan pemegang jawatan tersebut perlu bersedia memikul tanggungjawab besar terhadap FAS dan SUFC.

“Untuk makluman dan pengetahuan, FAS dan SUFC memerlukan perbelanjaan besar setiap tahun lima pasukan utama merangkumi senior, bawah 23 tahun, bawah 20 tahun, bawah 18 tahun futsal lelaki dan futsal wanita,” katanya menerusi kenyataan semalam.

Sehubungan itu menurutnya, urus tadbir pasukan SUFC memerlukan dana besar bagi memastikan semua peringkat boleh beraksi dalam Liga Malaysia.

“Turun naik sesebuah pasukan tidak mustahil menjadi pemangkin kepada kami untuk kembali ke kancah Liga Super 2024.

“Terima kasih kepada semua peminat yang mengambil berat tentang situasi FAS dan SUFC selama ini,” ujarnya.

Posa turut menyatakan rasa tanggungjawabnya untuk memastikan urus tadbir melibatkan pelesenan kelab berjalan lancar.

“Saya akur dengan sebarang keputusan jawatankuasa rayuan membabitkan pelesenan kelab untuk 2023 atau terpaksa bermain di liga divisyen kedua,” jelasnya.