Sunday, November 27, 2022

Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara lapan bulan

Secara Rawak

KUCHING: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana sengaja mencederakan dua orang adik tiri perempuannya dengan menendang punggung dan menumbuk pipi mangsa.

Tertuduh Thomas, 35, mengaku bersalah atas dua pertuduhan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A kanun yang sama, di hadapan Majistret Zaiton Anuar.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, dia sengaja mendatangkan kecederaan terhadap dua orang adik tiri perempuannya di sebuah rumah di Kampung Tematu, Jalan Batu Kitang, sekitar jam 2.40 petang, 29 Oktober lepas.

Dia didakwa menendang punggung mangsa pertama berusia 24 tahun, dan menumbuk pipi kiri mangsa kedua berusia 29 tahun dalam satu kejadian.

Sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda sehingga RM2,000.

Bagi setiap pertuduhan, dia dijatuhi hukuman penjara lapan bulan dan Zaiton memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara secara serentak bermula dari tarikh tangkap 29 Oktober lepas.

Sementara itu, tertuduh tidak mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah bunuh terhadap mangsa pertama.

Menurut fakta kes, semasa kejadian, abang tiri mangsa (tertuduh) telah pulang ke rumah dalam keadaan mabuk lalu mengamuk.

Tertuduh telah menendang punggung mangsa pertama hingga menyebabkan kesakitan.

Mangsa kedua cuba meleraikan keadaan namun dia turut ditumbuk di bahagian pipi kiri.

Selain itu, tertuduh yang dalam keadaan agresif turut mengeluarkan kata-kata ugutan bunuh kepada mangsa pertama dalam bahasa Bidayuh bermaksud ‘mun ku keluar dari jil, ku bunuh kitak orang’.

Bimbang akan keselamatan diri, mangsa tampil membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru