Pelihara keunikan adat Penan

0
3

BINTULU: Keunikan Pesta Adet Tepok Penan yang menjadi identiti suku kaum Penan perlu dipelihara, agar dapat diwarisi kepada generasi akan datang.

Adun Murum Kennedy Chukpai Ugon berkata, kekayaan identiti warisan bangsa dan budaya masyarakat Penan perlu dipelihara, bagi memastikan kelangsungan etnik peribumi tersebut kekal diketahui generasi baharu.

“Dalam kerancakan membangunkan negeri, kepentingan adat dan budaya tidak boleh diabai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Jian Langit Adet Tapok Penan Daerah Belaga di Dewan RSC Long Urun, kelmarin.

Menurutnya, budaya ialah aspek penting dalam kehidupan yang melambangkan identiti bangsa, suku kaum dan etnik.

“Ia perlu dipelihara dan dimartabatkan untuk kepentingan generasi akan datang.

“Saya berharap Pesta Adet Tapok Penan dijadikan platform untuk mengekalkan adat dan kebudayaan masyarakat Penan.

“Ia juga menyatukan masyarakat kita dalam pelbagai aspek termasuk agama, pendidikan, pembangunan, ekonomi dan pertanian,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Sarawak sentiasa menjaga kepentingan budaya dan menyokong usaha memperkasa kebudayaan masyarakat berbilang kaum.

Residen Bahagian Kapit Nyurak Keti, Penghulu Luhat Anyub, Penghulu Dominic Minggu dan wakil Sarawak Energy Berhad (SEB) Douglas Pungga Lawang turut hadir.