38 calon doktor terima ijazah

0
4
TAHNIAH...Canselor Unimas Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib dan isteri Toh Puan Kurdi Taib serta Naib Canselor Prof Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi bersama-sama graduan yang menerima anugerah utama sempena Majlis Konvokesyen Ke-21 Unimas di Kota Samarahan. • Foto RAMIDI SUBARI

KOTA SAMARAHAN: Seramai 38 bakal doktor menerima Ijazah Sarjana Muda Program Perubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Unimas di Dewan Tuanku Abdul Rahman (DeTAR Putra) di sini, semalam.

Naib Canselor Unimas, Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi berkata, kesemua graduan tersebut kohot pertama program selain mendapat tajaan biasiswa penuh daripada Kerajaan Sarawak melalui Yayasan Sarawak.

Sehubungan itu beliau menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak khasnya Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas kolaborasi strategik yang dijalankan bersama Unimas.

“Usaha tersebut bagi membangunkan modal insan serta menangani isu kekurangan doktor perubatan di negeri ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Ke-21 Unimas di DeTAR di sini, semalam.

Majlis Konvokesyen bagi meraikan 3,972 siswazah tersebut diadakan selama empat hari bermula semalam sehingga 3 November depan dan disampurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri S Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Kadim berkata, Unimas turut menerima seramai 19 pelajar kohot pertama untuk program Sarjana Muda Sains dalam Agroteknologi untuk kemasukan Oktober bermulanya sesi pengajian.

Katanya, program agroteknologi direka bentuk dan dibangunkan sebagai pemboleh agenda Pemodenan Pertanian di Sarawak.

“Program ini bakal melatih dan membangunkan kepakaran yang diperlukan dalam pertanian ketepatan, perancangan dan pembangunan pertanian serta pembangunan teknologi berkaitan keselamatan makanan.

“Sementara sesi pengajian semester baharu kali ini juga menyaksikan kemasukan 38 pelajar kohot pertama program Sarjana Muda Pendidikan (Pengajian Islam), Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia.

“Program Pengajian Islam merupakan hasil kerjasama antara Unimas, Jabatan Agama Islam Sarawak dengan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak dengan hasrat membantu mengisi kekurangan guru pendidikan Islam di sekolah di negeri ini,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Unimas turut menerima 289 pelajar antarabangsa melibatkan penyertaan enam negara dengan seramai 218 pelajar mengikuti pelajaran secara dalam talian melalui program Global Classroom, manakala 71 pelajar hadir ke kampus.

Selain itu, seramai 627 pelajar Unimas menimba pengalaman baharu di sembilan negara dengan 579 pelajar mengikuti program Global Classroom secara dalam talian manakala 48 menimba pengalaman di luar negara.