Thursday, December 8, 2022

Miliki 4 telefon pintar curi, penganggur terima padah

Secara Rawak

KUCHING: Padah memiliki harta curi empat buah telefon pintar dan seutas kunci kereta milik rakannya, seorang penggangur lelaki dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Tertuduh Hasrollah Salleh, 31, mengaku bersalah atas satu pertuduhan di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang dibacakan di hadapan Majistret Zubaidah Sharkawi.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki harta curi terbabit di sebuah pusat beli belah, Tabuan Jaya, di sini, sekitar jam 9.31 malam, 25 Oktober lepas.

Sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dan boleh dikenakan denda.

Zubaidah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara berkuat kuasa hari ini.

Menurut fakta kes, pada 25 Oktober lalu, sekitar jam 6 pagi, semasa pengadu baru bangun daripada tidur menyedari barang-barang miliknya telah hilang iaitu seutas kunci kereta, empat buah telefon pintar pelbagai jenama.

Pengadu mengesyaki orang yang mengambil barang-barang tersebut adalah orang yang dikenalinya kerana tertuduh telah bermalam di bilik pengadu.

Anggaran kerugian yang dialami oleh pengadu lebih kurang RM300.

Pengadu kemudian membuat laporan polis untuk tindakan lanjut seterusnya membawa kepada penangkap tertuduh pada hari yang sama.

Hasil siasatan mendapati tertuduh telah menyimpan harta curi iaitu empat buah telefon pintar dan seutas kunci kereta milik pengadu.

Oleh itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan.

Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin memohon agar mahkamah mengenakan hukuman setimpal kepada tertuduh sebagai pengajaran.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru