Sunday, November 27, 2022

Ahli perniagaan didenda RM20,000 terbabit kes rasuah

Secara Rawak

KUCHING: Seorang ahli perniagaan dijatuhi hukuman denda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah memberi rasuah RM2,000 kepada seorang pegawai polis berpangkat inspektor supaya tidak mengenakan tindakan undang-undang terhadap pekerjanya yang menyeludup minyak diesel untuk dijual, Disember tahun lalu.

Tertuduh Lee Wei, 31,membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Steve Ritikos selepas satu pertuduhan alternatif dibacakan terhadapnya.

Steve Ritikos menetapkan hukuman penjara enam bulan terhadap tertuduh sekiranya gagal menjelaskan denda.

Tertuduh (tengah) dibawa keluar oleh anggota SPRM dari Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Mengikut pertuduhan,dia didakwa memberikan wang tunai berjumlah RM2,000 kepada seorang Pegawai Polis Inspektor Lokman Adli Ihsan sebagai pertimbangan agar tidak mengambil tindakan terhadap dua orang pekerjanya yang menyeludup minyak diesel.

Kedua-dua pekerja tertuduh merupakan warga tempatan itu telah melakukan kesalahan di bawah seksyen 20(1) akta kawalan bekalan 1961 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 22 akta yang sama.

Dia melakukan kesalahan itu di sebuah bengkel kereta di Jalan Tan Sri Datuk Amar Wee Boon Ping, sekitar jam 9.30 pagi hingga 10 pagi, 8 Disember 2021.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga 40 tahun dan boleh dikenakan denda atau kedua-duanya sekali.

Menurut fakta kes, semasa kejadian, sekitar jam 8 pagi, sepasukan polis dari cawangan Risik, Ibu Pejabat Pasukan Gerakan Am Briged Sarawak yang diketuai oleh pengadu telah melakukan Ops Libas penjualan minyak diesel.

Sekitar jam 8.30 pagi, pengadu melihat sebuah kenderaan SUV dan sebuah lori sedang mengisi minyak diesel ke dalam tong dram di sebuah stesen minyak di Jalan Stephen Yong.

Selepas itu, pengadu dan pasukannya mengekori kenderaan terbabit menghala ke sebuah bengkel di Jalan Tan Sri Datuk Amar Wee Boon Ping.

Setiba di bengkel berkenaan, dua lelaki sedang memindahkan bahan api diesel dari kenderaan ke dalam tangki kontena pukal perantaraan (IBC).

Pemeriksaan lanjut mendapati beberapa tong dan tangki IBC disyaki minyak diesel dan lelaki terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen atau permit Barang Berjadual Khas untuk memiliki minyak diesel.

Pengadu kemudian, menghubungi pihak KPDNHEP Kuching untuk ke lokasi kejadian bagi proses penyerahan diri dan tindakan lanjut.

Sekitar jam 9.30 pagi, tertuduh yang merupakan pemilik bengkel telah datang ke premisnya dan bertanya kepada pengadu tentang kesalahan yang telah dilakukan oleh tertuduh.

Tertuduh kemudian, mengambil sesuatu dari keretanya iaitu sejumlah wang lalu memberikan kepada pengadu sebagai pertimbangan supaya tidak mengenakan tindakan undang-undang.

Pengadu enggan menerima wang terbabit dan menegaskan kepada tertuduh ia adalah satu kesalahan kerana memberikan rasuah kepada kakitangan kerajaan, namun, tertuduh berkeras hendak memberikan wang terbabit.

Pengadu kemudian mengambil wang itu lalu pergi ke pejabat SPRM Sarawak untuk membuat laporan.

Hasil siasatan, tertuduh telah memberikan sejumlah wang RM2,000 kepada pengadu sebagai pertimbangan untuk tidak menggenakan tindakan undang-undang di bawah seksyen 20(1) akta kawalan bekalan 1961.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM Miller Jawoi manakala kes disiasat oleh Pegawai SPRM Muhammad Zikry Wahid.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru