Sunday, November 27, 2022

Dua penggangur ditahan salah guna dadah

Secara Rawak

PADAWAN: Polis menangkap dua orang penggangur disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah di sebuah premis penginapan, Batu 7, semalam.

Ketua Polis Daerah Padawan Superitendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, kedua-dua suspek, lelaki dan perempuan berumur 32 dan 27 ditangkap dalam serbuan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan kira-kira jam 10.05 pagi.

Katanya, pasukan serbuan menemui dadah jenis syabu dianggarkan seberat 6.8 gram bernilai RM680 di atas sebuah rak kecil ketika pemeriksaan.

“Pihak polis merampas satu bekas tin segi empat mengandungi satu plastik lutsinar berserdehana besar didalamnya terdapat 12 paket lutsinar kecil berselotep jingga berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu.

“Turut ditemui satu peket plastik lutsinar sederhana besar didalamnya terdapat tujuh peket plastik lutsinar kecil warna biru berselotep hijau berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abang Zainal berkata, saringan awal air kencing dijalankan terhadap kedua-dua suspek didapati positif dadah dan mempunyai rekod jenayah lampau.

Beliau memberitahu, hasil siasatan awal dijalankan, suspek lelaki mengaku dadah yang dirampas adalah miliknya.

“Suspek mengaku terlibat dengan pengedaran dadah sejak awal tahun 2022.

“Suspek mendedahkan mendapat bekalan syabu secara transaksi bank dengan kekerapan dua kali seminggu,” jelasnya.

Beliau berkata, kedua-dua suspek ditahan di Balai Polis Kota Samarahan untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru