Sunday, November 27, 2022

Bapa dipenjara 12 tahun, 10 sebatan rogol anak sendiri

Secara Rawak

KUCHING: Bapa tunggal dua anak dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan sepuluh sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas didapati bersalah merogol anak kandungnya hingga mengandung dan melahirkan anak, tiga tahun lalu.

Hakim Jason Juga menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh berusia 45 tahun selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan hari ini.

Mengikut kertas pertuduhan, itu didakwa merogol mangsa berusia 12 tahun di sebuah rumah di Batu Kawa, di sini, sekitar 1 Jun hingga 30 Jun 2019.

Bagi pertuduhan itu, dia itu didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang daripada lapan tahun dan tidak melebihi 30 tahun dan tidak kurang daripada sepuluh sebatan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah memutuskan tertuduh menjalani hukuman penjara berkuat kuasa hari ini.

Difahamkan, satu laporan polis dilakukan oleh seorang doktor selepas mendapati mangsa yang masih di bawah umur melahirkan seorang bayi lelaki.

Selepas mangsa melahirkan anaknya, Ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA) telah dilakukan dan laporan Jabatan Kimia Malaysia mengesahkan bahawa mangsa dan tertuduh adalah ibu bapa kepada bayi tersebut.

Sebelum tertuduh dijatuhi hukuman, Peguam Bela Fung Lee Fook yang mewakili tertuduh merayu kepada mahkamah agar anak guamnya diringankan hukuman kerana tertuduh merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU) sejak tahun 2014, selepas insiden jatuh dari siling rumah ketika bekerja sebagai tukang kayu.

Sejak insiden terbabit, doktor mengesahkan bahawa tertuduh menderita sakit Fibromyalgia yang menyebabkan kecacatan kekal selain tertuduh tidak mampu bekerja untuk menampung keluarga.

Walau bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Timbalan Pendakwa Raya Norshafatihah Nor Azmi memohon agar hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh kerana perlu mengambil kira trauma yang dialami mangsa yang masih kanak-kanak selain menjadi seorang ibu dalam usia yang terlalu muda.

Selain itu, sebagai bapa yang dihormati adalah menjadi tanggungjawab menjaga kehormatan anak perempuannya namun telah mengkhianati amanah tersebut.

Seramai lapan orang saksi telah dipangil daripada sebelah pihak pendakwaan bagi memberi keterangan kes manakala hanya seorang saksi daripada pihak pembelaan.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru