Saturday, December 3, 2022

Skandal tumbuk suami kekasih didenda RM5,000 atau penjara 10 bulan.

Secara Rawak

KUCHING: Gara-gara memukul suami kepada kekasih wanitanya hingga menyebabkan cedera parah, seorang penjawat awam dijatuhi hukuman denda RM5,000 atau penjara sepuluh bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Zaiton Anuar menjatuhkan hukuman terhadap lelaki berusia, 30, selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa sengaja mendatangkan cedera parah terhadap mangsa berusia 54 tahun di sebuah rumah beralamatkan Kampung Sri Arjuna, Jalan Puncak Borneo, sekitar jam 12.40 tengah malam, 2 Jun lalu.

Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.

Menurut fakta kes, mangsa yang bekerja sebagai pemborong pulang ke rumahnya tiba-tiba melihat seorang lelaki yang dikenali bernama Saufi (tertuduh) berada dalam bilik tidur bersama isterinya.

Tiba-tiba lelaki tersebut lalu menumbuk muka mangsa hingga menyebabkan kecederaan di bahagian mulut dan hidung serta luka tangan kiri.

Selepas itu, berlaku pergelutan antara mangsa dan tertuduh yang disaksikan oleh anak lelaki mangsa sendiri.

Mangsa kemudian membuat laporan polis untuk tindakan lanjut seterusnya membawa kepada penangkapan tertuduh pada 4 Oktober lalu.

Hasil siasatan mendapati mangsa mengalami kecederaan patah hidung kerana ditumbuk tertuduh.

Difahamkan,isteri mangsa yang berusia 33 tahun merupakan isteri keduanya telah berkahwin selama 14 tahun serta mempunyai empat orang anak hasil dari perkahwinan tersebut.

Semasa kejadian, mangsa menerima maklumat daripada rakan sekitar kawasan perumahannya tentang seorang lelaki telah masuk ke rumah mereka bersama isterinya.

Mangsa akhirnya berjaya membongkar hubungan sulit isterinya apabila menangkap tertuduh yang berseluar pendek dan isterinya hanya berseluar dalam berada dalam bilik tidur mereka.

Selain itu, isteri kedua mangsa mengaku bahawa dia sering diabaikan oleh suaminya dan kurang mendapat nafkah batin selain telah mengenali tertuduh selama lapan bulan.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Merylene Lindan Andew Mang manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru