Saturday, December 3, 2022

RM50 juta: Sarawak tangani prasarana rosak akibat banjir

Secara Rawak

MIRI: Kerajaan Sarawak di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah mewujudkan program khas untuk menangani infrastruktur awam yang rosak akibat banjir dengan peruntukan bernilai RM50 juta untuk tahun depan.

Menurut Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, kerajaan Negeri di bawah pimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah meluluskan peruntukan itu dalam mesyuarat Kabinet Negeri sebelum ini untuk program khas berpusat di sekitar kerja-kerja tindak balas kecemasan bagi infrastruktur awam yang rosak.

Uggah berkata demikian pada Jumaat selepas sesi taklimat mesyuarat mengenai persiapan banjir bagi bahagian ini bersama pelbagai agensi kerajaan di Miri.

“Sebelum ini, kita tidak mempunyai dana untuk membaiki infrastruktur awam yang rosak teruk akibat banjir, dan sebab itu kerajaan Negeri telah mewujudkan program itu,” katanya kepada media di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Uggah turut meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) bersiap siaga ketika musim tengkujuh terutama kawasan kerap berlaku banjir di Baram bagi memastikan infrastruktur awam seperti jalan raya, jambatan berada dalam keadaan baik dan sentiasa memantau keadaan.

Datuk Amar Douglas Uggah pada sidang media
kesiapsiagaan banjir di pelbagai agensi di bahagian Miri.

Mengenai mesyuarat kesiapsiagaan banjir di pelbagai agensi di bahagian ini, Uggah melahirkan rasa puas hati dengan keupayaan tindak balas banjir mereka.

“Saya sangat gembira dengan kesiapsiagaan banjir mereka,” katanya sambil menambah di bahagian Miri sebanyak 48 pusat pemindahan sementara banjir akan disediakan.

Sebanyak 627 pusat pemindahan sementara (PPS) akan dibuka di seluruh negeri bagi menghadapi musim tengkujuh hujung tahun ini.

“Bagi depoh penyimpanan bantuan bencana, di seluruh negeri kita mempunyai 23 stor untuk menempatkan simpanan makanan kering dengan lapan di Miri dan 16 stor bencana di peringkat bahagian dan daerah,” kata Uggah.

ADUN Telang Usan Dennis Ngau hadir sama.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru