Saturday, December 3, 2022

Jaga pemakanan, kerap bersenam

Secara Rawak

SARIKEI: Seramai 65 kakitangan Pejabat Kesihatan Bahagian Sarikei mengambil bahagian dalam Program Fitness Challenge dan Fat To Fit anjuran bersama Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei, semalam.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei Hasman Bakar berkata, program itu merupakan sebahagian inisiatif penting untuk meningkatkan keupayaan individu dalam menghadapi cabaran dan tugasan harian dengan lebih efektif.

Penganjuran program julung kali itu katanya, berlangsung sehari dan diserikan dengan pelbagai aktiviti menarik dan mencabar.

“Keadaan cuaca yang kurang memuaskan tidak menghalang peserta memberikan sepenuh komitmen sepanjang program ini berlangsung. “Malah, kita dapat melihat sendiri keterujaan pada wajah mereka bermula daripada sesi pendaftaran hingga ke akhir program.

Walaupun terpaksa menempuh cabaran dan halangan, peserta memberikan respon yang begitu baik,” katanya ketika ditemui.

Hasman berkata, aktiviti kecergasan dilaksanakan sepanjang program sekali gus meningkatkan tahap kesihatan secara menyeluruh di samping mengukuhkan semangat kerjasama dalam kalangan peserta.

Selain itu katanya, aktiviti juga bertujuan mengukur tahap kecergasan kakitangan melalui beberapa cabaran dan halangan mengikut kerangka program ditetapkan.

“Kolaborasi pertama dengan Pejabat Kesihatan Bahagian Sarikei kali ini secara tidak langsung mengeratkan hubungan antara kedua-dua agensi. Kita amat gembira kerana berpeluang mengadakan program sebegini bersama mereka.

“Sehubungan itu, kita pada masa akan datang akan berganding dengan jabatan atau agensi lain pula,” katanya.

Hasman menambah, setiap penjawat awam perlu mengamalkan gaya hidup sihat termasuk menjaga pemakanan dan bersenam di samping melakukan ujian saringan kesihatan.

 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru