Friday, December 2, 2022

400 laman pornografi kanak-kanak disekat

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Sebanyak 400 laman sesawang berkaitan pedofilia dan pornografi kanak-kanak disekat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) setakat Ogos lepas, seperti yang diberitahu di Dewan Rakyat semalam.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata tindakan itu hasil kerjasama kementerian berkenaan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan MCMC.

“Kementerian bekerjasama untuk mengukuhkan dan memperkasakan penguatkuasaan iaitu dengan kerjasama rapat PDRM khususnya Bahagian Siasatan Jenayah Seksual,Wanita dan Kanak-kanak (D11) terutama berkaitan dengan siber,” katanya pada sesi soal jawab semalam.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) berhubung usaha kementerian bagi mengatasi masalah eksploitasi seksual kanak-kanak di alam maya disebabkan lambakan pelbagai aplikasi tidak bermoral dalam talian.

Siti Zailah berkata, kementerian mengambil pendekatan melaksanakan program advokasi, pencegahan, intervensi dan perkhidmatan sokongan sosial bagi mencegah jenayah seksual dalam talian terhadap kanak-kanak.

Beliau berkata, ia termasuk melaksanakan Program Jelajah Kasih Kanak-Kanak Prihatin Rakyat yang melibatkan kanak-kanak seluruh negara serta memperkasakan peranan Majlis Perwakilan Kanak- Kanak (MPKK) bagi mempromosi dan menyampaikan maklumat berkaitan Kempen Membanteras Jenayah Seksual Dalam Talian Terhadap Kanak- Kanak kepada komuniti setempat.

Selain itu, katanya kementerian juga bekerjasama dengan jabatan-jabatan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, ahli akademik dan aktivitis sosial untuk membangunkan Pelan Tindakan Perlindungan Kanak-Kanak Dalam Dunia Siber (PTCOP).- Bernama

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru