Kes demam denggi meningkat

0
5

SIBU: Kes demam denggi di bahagian ini menunjukkan peningkatan ketara serta meragut dua nyawa.

Pejabat Kesihatan Bahagian Sibu dalam satu kenyataan berkata, Bahagian Sibu merekodkan 58 kes kumulatif denggi untuk tempoh sembilan bulan tahun ini.

“Ini menunjukkan kes meningkatkan sebanyak 123 peratus daripada 26 kes sahaja untuk tempoh yang sama tahun lalu,” tegasnya.

Kenyataan itu mendedahkan kawasan kediaman adalah penyumbang utama sebahagian kes demam denggi itu.

“Di samping itu, terdapat dua kematian akibat demam denggi setakat ini yang masing-masingnya direkodkan di Sibu dan Selangau,” ujarnya.

Rentetan itu, Pejabat Kesihatan Bahagian Sibu menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mengutamakan langkah berjaga-jaga dan menjalani rawatan jika mengalami gejala.

Orang ramai digesa untuk mencari dan memusnahkan semua bekas berpotensi yang boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.

“Langkah ini dapat mengurangkan risiko jangkitan tersebut dan juga lindungi diri anda daripada gigitan nyamuk,” tegasnya. Sementara itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendedahkan individu yang mengalami demam (40°C/104F) merupakan salah satu tanda awal jangkitan demam denggi.

Ia turut disertai dengan sakit kepala teruk, sakit di belakang mata, sakit otot dan sendi, mual, muntah, kelenjar bengkak dan ruam.