Wednesday, December 7, 2022

Kekurangan Cina dalam perkhidmatan awam

Secara Rawak

KUCHING: Persekutuan Persatuan Cina Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian menggesa agar pengagihan kaum lebih seimbang dalam perkhidmatan awam dapat dicapai sepenuhnya.

Presidennya Datuk Richard Wee berkata, ia susulan pihaknya menyedari bahawa terdapat kekurangan ketara pemohon Cina untuk kekosongan jawatan dalam kerajaan.

Disebabkan itu katanya, pihaknya menjalankan kerjasama dengan bahagian Sumber Manusia Jabatan Setiausaha Kerajaan Negeri sebelum pandemik Covid-19 melanda dunia.

“Kami bekerjasama menganjurkan program di seluruh Sarawak bagi menerangkan dan mengetengahkan pakej gaji kebajikan dan faedah dalam kerjaya perkhidmatan awam.

“Ia bagi menggalakkan mereka mempertimbangkan perkhidmatan awam sebagai salah satu bidang kerjaya mereka,” katanya pada Majlis Makan Malam Gabungan Pertubuhan Cina di Hotel Pullman.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.

Dalam pada itu katanya, pihaknya juga memulakan sesi pertama di Kuching dan mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

Sehubungan itu, beliau berhasrat untuk melancarkan program itu melalui Persekutuan Persatuan Cina di seluruh bahagian di Sarawak.

“Malangnya latihan itu terganggu oleh pandemik dan menjadi hasrat kami untuk melancarkan semula program itu tidak lama lagi.

“Justeru kami memohon sokongan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk kami menjayakan program ini.

“Kami yakin ia dapat mencapai hasil yang diharapkan dengan usaha dan kerjasama antara Kerajaan Sarawak dan Persekutuan Persatuan Cina Sarawak,” katanya.

Hadir sama Presiden Persekutuan Persatuan Cina Malaysia (Hua Zong) Tan Sri Datuk Goh Tian Chian, Konsul Jeneral Cina di Kuching Xing Weiping dan ahli kenamaan lain.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru