Monday, December 5, 2022

Dipukul kerana tagih hutang RM1.2 juta

Secara Rawak

KUCHING: Seorang pemuda tempatan dijatuhi hukuman denda RM1,600 atau penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret di sini semalam kerana mencederakan seorang lelaki yang menagih hutangnya berjumlah lebih RM1.2 juta dengan sebuah agensi pinjaman wang berlesen.

Tertuduh Lim Chea Yi, 35, mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa sengaja mendatangkan kecederaan terhadap mangsa berusia 51 tahun di Kelab Golf Sarawak, Jalan Stadium di sini, sekitar jam 3.15 petang, 25 September lalu.

Oleh itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun keseksaan yang membawa hukuman penjara satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua- duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, semasa pengadu dan rakannya datang ke Kelab Golf Sarawak yang mewakili majikannya untuk menagih hutang berjumlah RM1,221,476.09 daripada tertuduh.

Namun, mangsa dikepung oleh 10 lelaki yang tidak dikenali. Mangsa kemudian dicekik oleh tertuduh dan ditolak ke tepi parit sebelum terjatuh ke tanah apabila ditolak oleh seorang lagi lelaki.

Sementara itu yang lain mengeluarkan kata-kata kasar serta enggan mendengar penjelasan daripada pengadu mengenai hutang tertuduh yang belum diselesaikan sejak empat tahun lalu.

Selain itu, telefon pintar milik pengadu turut dirampas oleh salah seorang lelaki tersebut sebelum kesemua mereka melarikan diri. Pengadu kemudian membuat laporan polis untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Hasil siasatan, tertuduh didapati mencekik dan menolak pengadu hingga menyebabkan kecederaan di bahagian leher kerana tidak berpuas hati ditagih hutang oleh pengadu.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru