Wednesday, November 30, 2022

1,142 kes bunuh diri

Secara Rawak

MASALAH kerisauan, tekanan perasaan dan kemurungan sehingga menimbulkan peningkatan kes bunuh diri dan kes jenayah lain yang melibatkan kesihatan mental.

Sejak pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan dua tahun lepas, Malaysia merekodkan hampir setengah juta penduduknya mengalami simptom depresi melalui laporan tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019.

Manakala, separuh daripada masalah kesihatan mental mula dikesan pada usia 14 tahun dan tiga perempat pada usia 20-an.

Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) lebih 703,000 kes kematian akibat bunuh diri dicatatkan setiap tahun di seluruh dunia, atau purata satu kematian bagi setiap 40 saat.

Bunuh diri merupakan satu daripada penyebab utama kematian di dunia dan penyebab keempat kematian bagi mereka yang berusia 15 tahun hingga 29 tahun.

Setiap nyawa yang terkorban sekitar 135 ahli keluarga dan rakan terkesan dari segi impak secara emosi, sosial dan ekonomi.

Di negara kita sendiri Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menyatakan bahawa kes bunuh diri di Malaysia meningkat 81 peratus dengan 1,142 kes dilaporkan tahun lalu berbanding 631 kes pada 2020.

Jumlah tersebut berdasarkan rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM), yang turut melaporkan 467 kes bunuh diri dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Jelasnya, faktor penyumbang tingkah laku bunuh diri adalah pelbagai dan kompleks, seperti isu psikososial dan persekitaran, isu kewangan yang merangkumi kehilangan sumber pendapatan atau pekerjaan, penyakit mental seperti kemurungan, kurang sokongan sosial dan penyalahgunaan substans.

Di Sarawak pula, sebanyak 37 kes direkodkan pihak polis bagi tempoh Januari hingga Mei 2021.

Menurut Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita Keluarga dan Pembangunan Kanak- Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah, kes bunuh diri meningkat 19.65 peratus bagi lima bulan pertama pada 2021, berbanding 46 kes pada 2020.

Trend peningkatan adalah sebanyak 77 peratus dari tahun 2018 hingga tahun 2022 apabila kes bunuh diri pada tahun 2019 meningkat 38.46 peratus daripada tahun 2018.

Sebanyak 89 peratus daripada kes bunuh diri melibatkan golongan lelaki yang kebanyakannya (96 peratus) berusia 18 tahun ke atas.

Dari segi undang-undang, individu yang hendak membunuh diri boleh didakwa mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Ramai dalam kalangan badan berkanun bukan kerajaan dan netizen tidak bersetuju bahawa individu yang ingin membunuh diri dikenakan hukuman kerana mereka berpendapat individu terbabit mempunyai masalah kesihatan mental dan memerlukan sokongan moral.

Masalah kesihatan mental yang semakin membimbangkan harus dibendung sebaik mungkin lebih- lebih lagi dalam institusi keluarga.

Sebelum usaha lain untuk memulihkan tekanan mereka, peranan keluarga adalah amat penting dalam memberi sokongan dan dorongan kepada mereka.

Bekerjasama menangani masalah yang dihadapi boleh meringankan tekanan emosi individu.

Selain itu, jangan malu untuk mendapatkan rawatan kaunseling di mana-mana pusat rawatan kesihatan mental.

Secara keseluruhannya, usaha membantu merawat mereka yang mempunyai masalah kesihatan mental oleh pelbagai pihak amat dihargai tetapi ia bergantung kepada individu terbabit untuk menerima rawatan.

Sebagai individu yang mempunyai kepercayaan agama masing-masing adalah wajar kita mendekatkan diri kepada Pencipta yang menjadikan seseorang itu lebih kuat dan tabah menempuh dugaan hidup.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru