Wednesday, November 30, 2022

Kabinet lulus wakil Sarawak, Sabah dalam LHDN

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Kabinet telah meluluskan cadangan meminda Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri 1995 bagi membolehkan wakil dari Sarawak dan Sabah sebagai ahli lembaga.

Menurut Menteri Kewangan Tengku  Datuk Seri Zafrul Aziz berkata Kabinet telah meluluskan cadangan itu pada 30 Sept lalu.

“Cadangan pindaan ini akan seterusnya dibentangkan ke Parlimen untuk kelulusan,” katanya menerusi satu kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, kerajaan pada 1 September 2022 telah melantik calon Kerajaan Negeri Sabah ke lembaga pengarah LHDN yang mengisi kekosongan ahli profesional dalam Lembaga LHDN.

Namun, cadangan pindaan yang dipersetujui Jemaah Menteri akan menginstitusikan wakil dari Sabah dan Sarawak di dalam lembaga pengarah LHDNM, di samping membolehkan pelantikan wakil dari kalangan penjawat awam Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak, jelasnya.

Beliau berkata pindaan Akta 533 merupakan tindakan Kerajaan Persekutuan untuk menyusuli permohonan Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak yang dipersetujui semasa Mesyuarat Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Kerajaan percaya pelantikan wakil-wakil Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Negeri Sarawak adalah selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 dan mengalu-alukan sumbangan idea dan kepakaran dari wakil Kerajaan Negeri berkaitan pentadbiran percukaian,” ujarnya

Pada akhir tahun 2021, Premier Sarawak menyatakan Kerajaan Sarawak akan menggunakan haknya di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bagi membolehkan wakil Sarawak berada dalam LHDN.

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Abang Openg dipetik berkata, di bawah perenggan ke-34 Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC), Sarawak dan Sabah mesti diwakili dalam dalam LHDN dan ia adalah mandatori.

“Jika kita ada wakil sekurangnya kita tahu mengenai berapa pendapatan seluruh negara dan apabila kita tahu mengenainya baharu kita boleh memohon jumlah berpatutan sebagai geran untuk negeri.

“Kalau kita tahu sumbangan Sarawak kepada pendapatan negara, kita mungkin boleh mendapatkan balik 20 peratus kepada negeri.

Perkara ini yang kita mahu dapatkan berlandaskan perjanjian.

“Sarawak sebagai rakan wilayah, kita akan melihat perkara ini dengan mendalam dan saya akan membawa kepada rakan-rakan kita,” katanya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru