Monday, December 5, 2022

Tiga pelajar terima Anugerah Pingat Emas

Secara Rawak

KUCHING: Tiga pelajar Program Sijil Teknologi Maklumat (STM), Kolej Komuniti Mas Gading (KKMG) telah menerima Anugerah Pingat Emas sekali gus dinobatkan juara kategori ‘Creative IoT Project’ (CIP) baru-baru ini.

Ketiga-tiga mereka berjaya mengharumkan nama Sarawak pada Pertandingan Inno-Tech Kolej Komuniti (KK) 2022 Peringkat Kebangsaan yang diadakan bermula 27 hingga 29 September 2022 di Dewan Banquet FAMA, RTC Gopeng, Perak.

RAKAM KENANGAN… Sirley (duduk tengah) bergambar dengan para peserta dan pensyarah pengiring, Chong (duduk kanan).

Menurut kenyataan media KKMG, antara ketiga-tiga mereka adalah Xaviearny Bina Linus, Muhammad Zakariyya Rajesh dan Yong Che Khent dengan tajuk ‘Eden Greenfeel Technology’ yang berjaya merangkul pembentangan terbaik keseluruhan.

Sementara itu, tiga pelajar lain iaitu Ann Audrey Anak Valentine, Arfitrizan Amir dan Beneface Majang Soya yang membentangkan hasil mereka dalam kategori Cabaran Inovasi Kes Komputer (CCIC) bertajuk ‘War Tech Sarawak Warrior’ turut menerima Anugerah Pingat Emas.

Ketiga-tiga mereka berjaya mendapat tempat keempat kategori CCIC dan mendapat pembentangan terbaik secara keseluruhan.

Menurut Pengarah KKMG, Shirley Phillip, pertandingan ini diyakini dapat menjadi penggerak terhadap usaha membudayakan inovasi khususnya dalam kalangan pelajar.

Selain itu katanya, pelajar juga akan sentiasa memberi fokus serta menghasilkan produk yang boleh diketengahkan supaya kejayaan dapat dikecapi bersama.

“Ia juga bertujuan membudayakan inovasi dalam kalangan generasi muda ini,” katanya.

Pertandingan ini diadakan bertujuan melihat kemahiran dan penguasaan pelajar Program Teknologi Maklumat (STM) dan Program Sijil Sistem Komputer dan Rangkaian (SKK) dalam bidang perkomputeran di Kolej Komuniti di seluruh negara.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru