Friday, December 2, 2022

Sambutan Hari Belia diraikan empat hari

Secara Rawak

KUCHING: Sambutan Hari Belia Peringkat Negeri Sarawak 2022 akan diadakan pada 19 Oktober sehingga 22 Oktober ini di Dataran Perayaan Petra Jaya.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata pihaknya menyasarkan lebih 10,000 pengunjung akan hadir pada sambutan yang akan diadakan selama tiga hari itu.

“Untuk perasmian khemah yang disediakan boleh menampung lebih 2,000 pengunjung namun untuk tiga hari sambutan itu, kita menyasarkan lebih 10,000 pengunjung,” katanya semasa sidang media Sambutan Hari Belia Peringkat Negeri Sarawak 2022 di pejabatnya di Bangunan Baitulmakmur 2 di sini hari ini.

Ia merupakan penganjuran kali pertama selepas dua tahun pandemik Covid-19 yang kali terakhir diadakan pada Mei 2022 di Asajaya.

Menurutnya penganjuran kali ini akan diadakan dalam skala besar berbanding 2020 yang terpaksa dihadkan dari segi jumlah kehadiran sebagai mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS).

Majlis perasmian akan disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 22 Oktober.

Edisi 2022 menyaksikan sebanyak 18 program telah dirangka sebagai pengisian sepanjang acara itu berlangsung termasuk pameran kerjaya, aktiviti sukan, pertandingan, perniagaan, riadah dan persembahan nyanyian dari artis jemputan tanah air.

Menurutnya lagi, tema sambutan ialah “Belia Peneraju Masa Depan Sarawak” sebagai pengiktirafan dan penghargaan terhadap sumbangan golongan belia kepada pembangunan negeri Sarawak.

“Harapan kita adalah agar rakyat dapat datang beramai-ramai bagi memeriahkan lagi sambutan ini dan sama-sama memberi sokongan kepada usahawan kita yang menjual produk pada hari tersebut,” katanya.

Kemuncak sambutan menyaksikan penyampaian Anugerah Belia Negeri bagi kategori individu lelaki dan wanita yang akan membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 seorang dan Anugerah Persatuan Belia Negeri dengan habuan RM10,000 bagi johan dan RM7,000 untuk naib johan.

 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru