PN mahu PRU-15 diadakan pada tahun depan

0
1
Perikatan Nasional

Perikatan Nasional berpendirian bahawa Pilihanraya Umum ke-15 tidak wajar diadakan pada tahun ini memandangkan monsun timur laut akan bermula tidak lama lagi dengan banjir dijangka melanda negara terutamanya di negeri-negeri pantai timur.

Mengadakan pilihanraya semasa musim banjir tentunya akan menjejaskan perjalanan pilihanraya di samping menyusahkan rakyat.

Kerajaan mesti memberi fokus kepada persiapan menghadapi musim banjir di samping terus memberi tumpuan kepada usaha mempercepatkan proses pemulihan negara pasca-pandemik.

Rakyat sedang terbeban dengan masalah inflasi, kenaikan harga barang dan kejatuhan nilai ringgit di samping proses pemulihan negara yang masih perlahan.

Penyelesaian kepada permasalahan ini mesti diberikan tumpuan sepenuhnya oleh kerajaan terutamanya menerusi Bajet 2023.

Anggota Jemaah Menteri dari Parti Perikatan Nasional telah diminta untuk mempertegaskan pendirian ini di dalam Mesyuarat Jemaah Menteri.

Semua Ahli Parlimen Perikatan Nasional juga diminta mengambil pendirian yang sama.

TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN
Pengerusi
Perikatan Nasional