Pas berpandangan PRU-15 tidak wajar disegerakan

0
1

KUALA LUMPUR: Pas berpandangan pembubaran Parlimen dalam tempoh terdekat adalah tidak wajar dan tidak perlu disegerakan, mengambil kira faktor pemulihan ekonomi dan jangkaan musim tengkujuh yang menyukarkan rakyat serta jentera kerajaan.

Menurut Presidennya Tan Sri Abdul Hadi Awang, Pas tetap akan meneruskan perbincangan dan rundingan dengan semua pihak (parti politik, NGO, ahli akademik, tokoh masyarakat) ke arah menjayakan agenda perpaduan ummah, bagi mencapai titik persamaan dan mengelakkan pertembungan sesama sendiri, sekali gus mengalahkan Pakatan Harapan.

“Pas berpendirian dalam apa jua keadaan, kepentingan negara dan rakyat hendaklah didahulukan, di samping langkah-langkah pemulihan ekonomi yang perlu terus disokong, khususnya melalui Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Perdana Menteri dikatakan akan memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk membubarkan Parlimen sebelum pembentangan Bajet 2023 pada Jumaat ini.

Datuk Seri Ismail Sabri yang dijangka menghadap Yang di-Pertuan Agong pada Khamis ini untuk memberi taklimat mengenai bajet dikatakan akan turut memohon perkenan baginda membubarkan Parlimen untuk memberi laluan bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Sumber yang dipetik media tempatan berkata, langkah itu bagi membolehkan PRU-15 lebih awal bagi mengelak ia diadakan ketika musim tengkujuh dan banjir yang dijangka bermula pertengahan November ini.

Menurut sumber itu, jika diperkenankan, pembentangan bajet tidak akan dibentangkan Jumaat ini seperti dijadualkan dalam takwim Dewan Rakyat.

Pembentangan Bajet 2023 pada asalnya dijadualkan pada 28 Oktober, tetapi kemudiannya diawalkan tiga minggu untuk dibentangkan pada 7 Oktober.

Ph menggesa agar PRU-15 diadakan pada tahun depan bagi membolehkan kerajaan memberi tumpuan kepada isu ekonomi dan kemungkinan banjir pada bulan November.

PRU-15 dijangka diadakan pada 19 November jika ia diadakan pada tahun ini.

Dalam sejarah PRU di negara ini, hanya pada tahun 1999, PRU pernah diadakan pada bulan November.

PRU tidak pernah diadakan dalam bulan Disember, Januari dan Februari.