Monday, December 5, 2022

Kemahiran digital penuhi pasaran pekerjaan

Secara Rawak

BINTULU: Golongan belia di negeri ini perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan dan kemahiran digital bagi memenuhi permintaan pasaran pekerjaan sejajar dengan perubahan semasa impak daripada ekonomi digital.

Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Majang Renggi berkata, masyarakat tidak lagi boleh melihat pekerjaan masa depan dalam konteks kepakaran tunggal, sebaliknya perlu memiliki pelbagai pengkhususan dalam beberapa bidang selaras dengan persekitaran pekerjaan.

Menurut beliau, kursus teknologi maklumat komunikasi (ICT) kini tidak mencukupi bagi memenuhi permintaan pasaran pekerjaan, sebaliknya, golongan terlibat perlu mengikuti kursus pengekodan atau pengaturcaraan untuk mengaktifkan robot, dron, atau membangunkan pelbagai aplikasi yang memudahkan gaya hidup manusia.

Manakala, di peringkat sekolah pula, katanya, pelajar perlu didedahkan dengan pendidikan Sains, Teknologi dan Matematik (Stem).

“Ibu bapa hendaklah menggalakkan anak-anak mengambil jurusan sains kerana bidang ini memberikan pilihan yang lebih luas sama ada dalam bidang akademik dan kerjaya.

“Pelajar hendaklah mengikis pemikiran bahawa mata pelajaran Sains itu sukar.

Sekarang ini dengan kemajuan dalam inovasi digital, segala ilmu dan maklumat asas boleh didapati melalui Google,” ujar semasa berucap merasmikan Jerayawara Project of Dreams Realised (Pro-DR) 2022 di Dewan Suarah, di sini, kelmarin.

Beliau berharap belia dan pelajar dapat memanfaatkan jerayawara tersebut selaras dengan hasrat Kerajaan Sarawak untuk menghasilkan lebih banyak tenaga kerja digital demi memacu agenda dalam membangunkan Sarawak pada 2030 melalui ekonomi digital.

Sebanyak 30 institusi pengajian tinggi dan syarikat menyertai jerayawara itu tahun ini.

Dikendalikan oleh Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (Tegas) sejak 2015, siri jelajah itu bertujuan memberi peluang sama rata kepada semua anak Sarawak untuk berjaya berdasarkan potensi mereka.

Program itu memberi panduan kepada anak muda Sarawak untuk merealisasikan cita-cita mereka berdasarkan minat dan kelayakan akademik.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru