Wednesday, November 30, 2022

Jalan raya di Malaysia bukan yang ke-12 terburuk di dunia

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) menafikan artikel sebuah akhbar tempatan yang bertajuk Malaysia ke-12 Terbawah Miliki Jalan Raya Terburuk yang dikeluarkan semalam.

Menurut kenyataan KKR, artikel berkenaan tidak tepat dan mengelirukan kerana menggunakan laporan Worst and Best Roads – US and International Ranking yang dijalankan oleh sebuah firma pendidikan pemandu Zutobi dan memberikan persepsi yang kurang baik terhadap kualiti keseluruhan jalan raya di Malaysia.

Ia susulan laporan berkenaan hanya mengambil kira empat faktor iaitu kualiti jalan raya, peningkatan kualiti jalan raya, kematian jalan raya dan saiz relatif rangkaian jalan raya dan hanya mengambil kira data untuk 59 negara sahaja, bukan semua negara di dunia.

KKR turut menjelaskan bahawa terdapat sebuah lagi kajian yang dikeluarkan Utusan Malaysia pada 10 Ogos lepas dengan tajuk “Kualiti jalan di Malaysia 21 terbaik di dunia, mengatasi Australia, Britain, New Zealand” dengan menggunakan sumber dikeluarkan oleh The Global Economy yang memperoleh data berdasarkan komponen kualiti jalan diterbitkan oleh Indeks Daya Saing Global.

“Kajian itu turut memetik sumber sahih daripada kajian eksekutif melibatkan sejumlah 14,000 tokoh dari 144 negara yang menyertai Forum Ekonomi Dunia yang berpusat di Davos, Switzerland,” menurut kenyataan itu yang dipetik Bernama.

Menurut kenyataan itu lagi, berdasarkan data daripada kajian Utusan Malaysia, tahap jalan raya negara ini adalah antara terbaik iaitu 5.3 mata daripada julat keseluruhan tujuh mata, di samping tahap jalan di Malaysia adalah lebih baik berbanding Sweden (ke-23), Kanada (ke-31), Australia (ke-33), Britain (ke-37) dan menduduki tangga kedua di Asia Tenggara, Malaysia menduduki tangga kedua selepas Singapura.

Sementara itu, KKR sentiasa mengambil perhatian terhadap semua laporan kajian yang diterbitkan sebagai satu kaedah semak dan imbang bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat.

“Pelbagai komitmen berterusan dilaksanakan KKR khusus dalam menjaga kualiti jalan raya di negara ini, penyenggaraan ini difokuskan kepada Jalan Persekutuan dengan jumlah panjang 20,017 kilometer, selain KKR menerima sebanyak lebih RM900,000 peruntukan sebagai kos penyenggaraan jalan raya di seluruh negara dan 6,656 tampalan jalan berlubang telah dilaksanakan sehingga Ogos lepas,” menurut KKR.

Dalam kenyataan sama, KKR juga memfokuskan kepada usaha berterusan menjaga kualiti jalan raya menerusi kempen Zeropotholes sejak 2016 dan Kempen Kita Jaga Jalan Kita yang dilancarkan pada November 2021.

Selain itu, peruntukan tambahan sebanyak RM130 juta telah diluluskan bagi tujuan Perbelanjaan Pembangunan Kerja-Kerja Penyenggaraan Berkala Pavemen di Jalan Persekutuan Seluruh Malaysia secara sekali beri melalui surat Kementerian Kewangan Malaysia pada 13 Sept lepas.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru