Wednesday, November 30, 2022

Wanita di Sibu gagal miliki gelang emas, rugi RM12,550

Secara Rawak

SIBU: Seorang penjawat awam wanita berusia 45 tahun berputih mata dan kecewa untuk memiliki seutas gelang emas ‘pulut dakap’ setelah diperdayakan sindiket jual emas dalam talian semalam.

Mangsa mengalami kerugian berjumlah RM12,550 selepas terpengaruh untuk membeli gelang emas itu yang ditawarkan melalui laman sosial Facebook.

Menurut Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner (ACP) Zulkipli Suhaili melalui satu kenyataan,  mangsa telah berurusan dengan suspek melalui aplikasi Whatsapp dan membuat bayaran secara ansuran sejak Januari hingga Mac tahun ini.

Jelasnyanya mangsa  membuat pembayaran berjumlah RM12,550 ke satu akaun bank melalui perbankan internet dan dijanjikan barangan akan diposkan ke alamat mangsa.

“Setelah mangsa selesai membuat kesemua bayaran itu, penjual telah memberi pelbagai alasan dan sehingga kini barang kemas yang ditempah belum diterimanya,” katanya menerusi kenyataan itu.

Zuklipli berkata, berikutan itu mangsa membuat laporan polis di Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD Sibu pada Ahad dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan penjualan barangan kemas secara dalam talian yang menawarkan harga lebih murah berbanding harga pasaran.

 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru