Friday, December 2, 2022

Tambah baik dan percepat capaian Internet di pedalaman Sarawak

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Komunikasi Dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin memaklumkan kerajaan komited dalam memastikan liputan jalur lebar menyeluruh di seluruh negara termasuklah di kawasan pedalaman di Negeri Sarawak.

Menurutnya, di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 1, inisiatif-inisiatif yang telah dan sedang dijalankan di Sarawak dan Parlimen Serian serta Parlimen Betong setakat suku kedua 2022 dijalankan mengikut seperti biasa.

“Kerajaan telah mempercepat penyediaan perkhidmatan jalur lebar melalui teknologi satelit daripada JENDELA Fasa 2 ke Fasa 1 dengan keseluruhan 523 lokasi telah siap dipasang di seluruh kawasan pedalaman di Negeri Sarawak yang telah memberikan manfaat kepada penduduk kawasan tersebut.

“Penambahbaikan liputan ke seluruh negara termasuklah di kawasan luar bandar dan pedalaman akan diteruskan melalui Pelan JENDELA Fasa 2 (2023-2025).

“Semua inisiatif ini melibatkan peruntukan Kerajaan melalui Program Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP) dan pelaburan komersial oleh syarikat pemberi perkhidmatan melebihi RM4 bilion di Negeri Sarawak.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM2.12 bilion telah siap dilaksanakan manakala baki RM1.9 bilion lagi dalam peringkat pelaksanaan, ”katanya ketika sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat semalam seperti dilapor Umno Online.

Beliau menjawab persoalan yang diajukan oleh ahli Parlimen Serian , Datuk Seri Richard Riot anak Jaem yang menyatakan komitmen Kementerian untuk memastikan liputan jalur lebar  menyeluruh dan stabil di kawasan-kawasan pedalaman Sarawak dapat direalisasikan.

Kata Ahli Parlimen Padang Besar lagi, Projek PoP Fasa 1 akan melibatkan 630 lokasi dan Fasa 2 pula akan melibatkan 3,693 lokasi berhampiran sekolah di kawasan luar bandar di seluruh negara.

Dalam pada itu beliau turut menjawab persoalan dari Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mengatakan capaian internet adalah penipuan terbesar dan bagaimana kerajaan mendapatkan audit berkenaan capaian internet yang telus dan tidak ada Telco yang berkepentingan peribadi serta terdapat kawasan yang tiada liputan internet.

Tegas Zahidi sekiranya kawasan-kawsan yang tidak ada capaian internet maka penduduk harus memberitahu MCMC pada setiap negeri agar dapat menambahkan lagi kekuatan pada internet.

“Kita keluarkan duit rakyat dan duit tuan-tuan untuk bina menara tapi pemancar yang letak di situ adalah Telco dan inilah kami menghadapi masalah. Bahawa kadang-kadang Telco tidak letak pemancar di situ dan tidak tambah kekuatan pemancar dan sebab kuasa MCMC mengarahkannya.

“Kita harap penduduk akan ‘complent’ dan ‘check’ tempat yang ada line. Kalau boleh ahli Parlimen minta bajet untuk kawasan-kawasan untuk menaikkan teknologi yang rendah untuk dapatkan liputan yang terbaik,” ujarnya

 

 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru