Saturday, December 3, 2022

Sarawak bersetuju beri geran bina bangunan Persekutuan Persatuan Cina Sarawak

Secara Rawak

KUCHING: Kerajaan Sarawak bersetuju memberikan geran padanan satu sama satu kepada jumlah dana yang dikumpul Persekutuan Persatuan Cina Sarawak untuk membina bangunan persatuan mereka sendiri.

Keputusan tersebut diumumkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sambil memberitahu jumlah dana yang dikumpul oleh persekutuan itu akan dipadankan oleh Kerajaan Sarawak.

“Sekiranya Persekutuan Persatuan Cina Sarawak dapat mengumpul dana sebanyak RM7 juta, kita juga akan memberi peruntukan sebanyak RM7 juta kepada mereka ,” katanya pada Majlis Makan Malam Gabungan Pertubuhan Cina di Hotel Pullman, malam tadi.

Dalam perkembangan lain, Abang Johari berkata masyarakat Cina sentiasa menjadi bahagian penting dalam ekonomi dan politik Sarawak.

“Dengan visi dan ketekunan mereka telah meletakkan masyarakat di Sarawak berada di barisan hadapan dalam bidang perniagaan, perdagangan dan industri.

“Begitu dengan yang kaum dan kumpulan etnik yang lain, tiada jalan lain untuk maju ke hadapan kecuali bekerjasama. Itulah sebabnya agenda pembangunan Sarawak kami inklusif untuk semua,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut meluluskan geran peruntukan sebanyak RM200,000 kepada persekutuan serta badan belia dan wanita mereka untuk menjalankan aktiviti tahunan.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru