Saturday, December 3, 2022

Saksi sahkan tiada cubaan culik pelajar di Simunjan

Secara Rawak

SIMUNJAN: Siasatan dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Simunjan mendapati tiada sebarang unsur kejadian culik membabitkan seorang pelajar sebuah sekolah rendah, di sini semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Simunjan Asisten Superintenden Honchin Ludu berkata, pihaknya menerima laporan berhubung dakwaan cubaan culik dilaporkan seorang wanita warga tempatan berumur 31 tahun membabitkan anaknya, 9, yang cuba diculik oleh seorang lelaki dan seorang perempuan tidak dikenali semasa berada di luar sekolah.

Katanya, hasil siasatan terperinci dijalankan mendapati kejadian berlaku diluar kawasan sekolah selepas waktu persekolahan tamat yang dipenuhi dengan kenderaan ibu bapa untuk mengambil anak masing-masing.

“Pihak polis telah mengambil tindakan sewajarnya dengan mengenal pasti saksi-saksi penting melibatkan beberapa individu termasuk pengadu, mangsa, rakan mangsa, pengawal keselamatan sekolah dan penduduk sekitar.

“Kesemua saksi mengesahkan tiada perlakuan kejadian sebagaimana dilaporkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, Honchin menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan berita tidak sahih yang boleh mengugat ketenteraman awam.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar memaklumkan dengan segera jika terdapat sebarang maklumat atau individu yang mencurigakan diluar kawasan sekolah atau kawasan kejiranan.

Katanya, maklumat boleh terus disalurkan ke IPD Simunjan di talian 082-803794.

Tegasnya, pihak polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan keras ke atas mana-mana individu yang menyebarkan berita palsu dan tidak benar yang boleh mengugatkan ketenteraman awam di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

PERSEMBAHAN… sekitar rakaman semasa persembahan yang disajikan pada program Malam Bulan Di Pagar Bintang di Balai Budaya, DBP dekat sini, malam tadi (Foto Kredit DBP)

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru