Wednesday, November 30, 2022

Persiapan hadapi realiti hidup

Secara Rawak

SERIAN: Penyertaan dalam pergerakan pengakap dapat memperkasakan pelajar melalui latihan secara amali yang direka khas sebagai pelengkap kepada pembelajaran formal di bilik darjah.

Setiausaha Eksekutif Persekutuan Pengakap Malaysia Cawangan Sarawa Zasran Abdullah berkata, pergerakan pengakap mempersiap pelajar melalui skim latihan menyeluruh supaya ahli dapat berhadapan dengan realiti hidup dengan penuh keyakinan.

“Latihan secara amali yang dilalui peserta perkhemahan kemajuan keris gangsa di padang Sekolah Kebangsaan Tebakang dapat mempersiap pelajar untuk menangani cabaran dalam hidup,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Perkhemahan Lencana Kemajuan Peringkat Daerah Serian.

Zasran menggesa semua pemimpin untuk melipatgandakan usaha pemerkasaan pelajar yang menyertai pergerakan pengakap.

Dalam pada itu, beliau merayu pergerakan pengakap ditubuhkan di semua sekolah di daerah Serian. Beliau turut berterima kasih kepada pengetua dan guru sekolah yang berjaya menubuhkan unit pengakap di sekolah masing-masing.

“Kita bersyukur kerana kepimpinan Pejabat Pendidikan di Serian turut membantu dalam menambah bilangan ahli,” ujarnya.

Sementara itu, Pesuruhjaya Pengakap Daerah Serian Edwin Talep berkata, perkhemahan tiga hari itu bertujuan untuk mendedahkan ahli pengakap kepada aspek perkhemahan dan latihan amali dalam bidang khusus.

“Perkhemahan ini disertai 180 peserta yang terdiri daripada pengakap kanak-kanak, muda dan remaja.

“Ia perkhemahan merangkumi latihan kemahiran mendirikan khemah, memasak ala rimba, membina tripod daripada buluh, membuat persembahan kebudayaan dan melakukan ikatan tali selain rutin wajib perkhemahan,” jelasnya.

Turut hadir Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Serian selaku Pengerusi Majlis Pengakap Daerah Serian Patrick Mandon dan Guru Besar Sekolah Kebangsaan Tebakang Nazari Mohamed.

 

 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru