Wednesday, November 30, 2022

Penggunaan teknologi moden bagi kemudahan kesihatan di Sarawak

Secara Rawak

KUCHING: Selari dengan kepesatan teknologi masa kini, kerajaan Sarawak menitikberatkan penggunaan teknologi moden di kesemua fasiliti kesihatan negeri untuk memberi perkhidmatan kesihatan terbaik kepada rakyat , kata Premier Sarawak.

Menurut  Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, antara usaha yang mampu melancarkan lagi perkhidmatan kesihatan di negeri ini adalah penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang memberi pelbagai kelebihan dalam perkhidmatan dan pengurusan perubatan hospital.

“AI dapat menyampaikan penjagaan kesihatan yang lebih baik bagi semua dengan meningkatkan keberkesanan.

“Dalam penjagaan kesihatan, langkah awal sentiasa menjadi penentu hidup atau mati, iaitu apabila kita menggunakan kuasa AI dalam perubatan prediktif, kita dapat meramalkan penyakit lebih awal.

“Selain itu, pakar perubatan dapat mendiagnosis dan bertindak lebih awal, impak penyakit dapat dikurangkan, seterusnya menghasilkan kesejahteraan pesakit yang lebih baik, “ katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Penggunaan Tiga Sistem dan Teknologi Perubatan Terkini di Pusat Perubatan Pakar Normah di sini pada Isnin seperti dilapor TVS.

Abang Johari menambah, penggunaan AI juga dapat mengurangkan kes kemasukan ke hospital yang secara tidak langsung mengurangkan keletihan pekerja kesihatan.

“Melihat ke hadapan untuk masa depan kita, AI harus dimasukkan ke dalam perkhidmatan dan pengurusan perubatan hospital kita, ” katanya.

 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru