Wednesday, November 30, 2022

Ketiga terburuk dalam sejarah

Secara Rawak

JAKARTA: Kematian 125 orang di Stadium Kanjuruhan, Malang, adalah ketiga terburuk dalam sejarah tragedi bola sepak dunia.

Rusuhan penyokong ketika aksi Liga 1 Indonesia antara Arema FC dan Persebaya Surabaya itu hampir menyamai tragedi di Stadium Accra Sports, Ghana yang mengorbankan 126 nyawa.

Tragedi terburuk ialah di Lima, Peru, yang meragut 328 nyawa, ketika aksi Kelayakan Olimpik Tokyo antara Peru dengan Argentina pada 24 Mei 1964.

Ketika permainan berbaki dua minit di Estadio Nacional itu, Argentina masih mendahului 1-0.

Kemudian Peru menjaringkan gol penyamaan, tetapi dibatalkan pengadil dari Uruguay, Angel Eduardo Pazos, yang didakwa berat sebelah.

Insiden tercetus apabila seorang penyokong tuan rumah bernama Bomba, meluru ke dalam padang dan membelasah pengadil.

Apabila penyokong kedua masuk, dia dibelasah dengan teruk oleh polis. Akhirnya lebih ramai penyokong masuk ke padang dan pihak polis turut menjadi mangsa.

Rusuhan tercetus dan polis menembak gas pemedih mata untuk menyuraikan penyokong.

Bagaimanapun dengan pintu keluar ditutup dan lebih banyak gas pemedih mata dilancarkan, penyokong mula bersesak dan ramai yang terperangkap.

Selepas dua jam, pintu dibuka semula dan sekurang-kurangnya 328 orang terkorban akibat sesak nafas dan dipijak.

Ada dakwaan mengatakan jumlah korban sebenarnya lebih tinggi kerana pihak berkuasa ingin menutup kematian disebabkan tembakan oleh pihak polis.

Insiden hampir sama berlaku 37 tahun kemudian ketika perlawanan antara Accra Hearts dengan Asante Kotoko di Stadium Accra Sports.

Akibat tewas 2-1 kepada Accra Hearts, penyokong Kotoko mengamuk dan mula membuat kacau.

Polis menggunakan gas pemedih mata dan peluru getah tetapi bukan hanya penyokong Kotoko yang menjadi mangsa.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru