Wednesday, November 30, 2022

Jangan menghendap…kalau tidak…

Secara Rawak

KUCHING: Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan kepada Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah berkaitan peruntukan Anti Menghendap merupakan antara RUU yang dibaca bagi kali kedua dan dibahas pada hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kerajaan komited memastikan segala undang-undang yang dirangka dan telah diumumkan dibawa dalam Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima Parlimen Ke-14 2022.

“Selain daripada itu, RUU lain yang terlibat adalah seperti RUU Kanun Keseksaan (Pindaan) 2022, RUU Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2022, RUU Keadilan Jenayah (Pindaan) 2022, RUU Penculikan
(Pindaan) 2022, RUU Senjata Api (Penalti Lebih Berat) (Pindaan) 2022 dan RUU Senjata (Pindaan) 2022.

“Termasuk RUU Dadah Berbahaya (Pindaan) 2022, yang mana berkaitan pemansuhan hukuman mati mandatori juga akan dibawa untuk bacaan pertama dan kedua pada sidang parlimen kali ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun jelasnya, masih terdapat beberapa undang-undang yang dijangka dibentangkan tetapi belum mendapat kelulusan jemaah menteri sebelum RUU tersebut boleh dibentang dan dibahas antaranya adalah RUU Sumbangan Politik 2022, RUU Perkhidmatan Parlimen 2022, Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) (Pindaan) 2022 dan Akta Insolvensi 1967.

“Begitu juga terdapat pindaan Perlembagaan Persekutuan yang dijangka akan dibawa pada sidang ini yang masih memerlukan kelulusan jemaah menteri seperti peruntukan berkaitan dengan RUU Perkhidmatan Parlimen, Larangan Ahli Dewan Negara bertukar Parti, Pengehadan Tempoh Perdana Menteri dan Pindaan Berkaitan Isu Pelancongan Dalam Senarai Persekutuan.

“Saya yakin dengan semua pindaan yang dicadangkan di atas, kerajaan telah mencapai matlamat terhadap transformasi kerajaan dan transformasi parlimen dengan jayanya,” ujarnya.

Beliau percaya, segala transformasi akan membawa kebaikan bersama kepada negara dan rakyat jelata pada keseluruhanya memandangkan ia merupakan satu persetujuan dwipartisan atas inisiatif kerajaan.

Untuk makluman, sebanyak sembilan RUU yang sedia untuk bacaan kedua, 13 RUU yang diluluskan jemaah menteri dijangka akan dibuat bacaan pertama dan 10 RUU serta Pindaan Perlembagaan termasuk daripada kementerian-kementerian lain.

 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru