Saturday, December 3, 2022

Jadi cerdik, tidak perlu kaya

Secara Rawak

SERIAN: Masyarakat Bidayuh digesa untuk terus memberi keutamaan kepada pendidikan, kata Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Roland Sagah Wee Inn.

Beliau berkata, ia penting untuk memajukan diri dan bersaing dalam keadaan yang semakin mencabar sekarang.

Malah menurutnya, bidang pengajian seperti sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (Stem) juga perlu diberi perhatian kerana menyediakan banyak peluang pekerjaan.

Sehubungan itu katanya, ibu bapa harus sentiasa peka dan menumpukan kepada pendidikan anak-anak agar dapat menjadi pelajar terbaik.

“Jika kita lihat senarai pelajar terbaik, kita boleh lihat rata-rata mereka adalah daripada kaum cina.

“Mengapa kita bidayuh tidak boleh mencapai keputusan yang sama?

“Pendidikan bukan semata-mata soal wang. Kita tidak perlu kaya untuk menjadikan anak cerdik. Ia melalui kaedah kita mendidik anak,” tegasnya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah Insentif Pelajar Cemerlang Dun Tarat di Kampung Mundai di sini.

Pada majlis sama, beliau berkata, dunia sekarang lebih cenderung kepada sains dan rakyat Sarawak harus mengambil peluang dan berusaha menceburi bidang kerja atau perniagaan yang berkaitan.

Sebagai contoh katanya, seorang pelajar mempunyai inspirasi untuk membantu ibu bapa bertani, mereka harus mengadaptasi teknologi untuk meningkatkan pengeluaran ladang dan memudahkan urusan.

“Kita tidak boleh sentiasa mengimport pakar dari luar negara.

“Kita mahu menjadi pengeluar dan pengeksport semua bidang.

“Jadi, kita mesti mencapai 60 peratus pelajar aliran sains menjelang tahun 2030,” tambahnya.

Insentif kecemerlangan akademik 2021 dianugerahkan kepada 170 pelajar di Dun Tarat. Program insentif akademik itu merupakan inisiatif Sagah yang merupakan Adun Tarat bagi membantu pelajar di kawasannya.

Penyerahan insentif tersebut adalah untuk memberi motivasi kepada pelajar untuk bekerja keras dalam akademik.

Selain itu, ia juga bagi meningkatkan kesedaran kepada penjaga atau ibu bapa supaya menggalakkan dan memberi tumpuan kepada pencapaian akademik anak-anak mereka.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru