Friday, December 2, 2022

Begitu ramai terpesona dan menjadi mangsa

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan rakyat Malaysia untuk hati-hati kerana terdapat bayang-bayang dokumen bukan kitab suci akan muncul semula untuk memperdaya lagi.

Tegasnya yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), beringatlah kepada kisah seperti mansuhkan tol dan PTPTN percuma

“Tentunya semua masih ingat pada dokumen manifesto ini. Dokumen ini sangat licik, manipulatif dan berbahaya. Ia pernah merosakkan rasional manusia. Mereka yang pernah ‘mengimaninya’ terawang-awang dalam halusinasi fantasi tidak bertepian sehingga meranap intelek dan logik akal.

“Dokumen bukan kitab suci muncul sekitar tahun 2018 ini menghasut gelora nafsu manusia lalu memusnahkan kejujuran dan realistik insani.

“Manusia yang ‘menganutinya’ dijanjikan ‘syurga dunia’ serta kemewahan tidak masuk akal menyebabkan begitu ramai terpesona lalu dimangsakan. Namun sejarah telah membuktikan bahawa dokumen ini ternyata sarat kepalsuan, pembohongan, penipuan yang memesongkan dengan janji-janji manis,” katanya menerusi kenyataan dalam laman Facebooknya.

Jelas Ahmad Zahid, dokumen ini juga umpama ‘bulan dan bintang’ yang tampak menarik dan mampu digapai dengan mudah, tetapi realitinya sejauh 384,400 kilometer dari bumi.

“Setakat ini tiada siapa berani mengaku mencipta dokumen tipu daya ini – petunjuk paling hampir cumalah individu mengaku menjadi tukang tulis. Hanya yang pasti terdapat gerombolan yang suatu ketika dulu menjadikan dokumen bukan kitab suci ini alat untuk memanfaatkan kepentingan mereka,” jelasnya.

“Selepas manfaat telah dikaut, mereka cuba membuat manusia terlupa kewujudan dokumen ini dengan pelbagai penceritaan untuk mengelirukan. Kini selepas hampir lima tahun berlalu terdapat bayang-bayang ‘dokumen’ seumpamanya akan muncul semula untuk memperdaya lagi,” katanya.

Justeru, katanya, rakyat Malaysia haruslah berhati-hati kali ini dan usah terlalu mudah dihalusinasi lagi oleh kelicikan dan manipulasi yang amat berbahaya serta memusnahkan itu.

“Insya-Allah kita akan mengetahui apabila ia telah kembali,” katanya lagi.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru