Wednesday, November 30, 2022

Bantu B40, ahli miliki rumah

Secara Rawak

KUCHING: Koperasi Koperkasa Sarawak Berhad (Koperkasa) sedang membangunkan projek perumahan di kawasan Matang yang melibatkan lebih 800 unit kediaman yang dilaksanakan dalam tempoh lima fasa sehingga 2028.

Pengerusinya, Fathi Hambali berkata, projek tersebut akan dilancarkan November depan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang akan dibuka kepada kumpulan sasar termasuk golongan B40 dan ahli Koperkasa.

Katanya, ia sedikit sebanyak memberi kelebihan kepada ahli Koperkasa yang bakal menikmati potongan harga daripada nilai pasaran.

“Untuk projek perumahan ini kita memberi tumpuan kepada kumpulan sasar golongan B40 dan ahli Koperkasa, dan mereka akan dapat manfaat daripada usaha yang dilaksanakan ini termasuk diskaun kepada ahli-ahli,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Pejabatnya di Bangunan Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak.

Mengulas lanjut kata Fathi, pihaknya turut bercadang untuk membangunkan sebuah apartmen dengan 200 unit rumah.

Perkara itu jelasnya telah mendapat persetujuan secara prinsip ketika pertemuan sekitar 30 minit bersama-sama Abang Johari

“Selepas ini kita akan merangka semula projek perumahan dengan beberapa nilai tambah termasuk rancangan membangunkan sebuah apartmen dengan 200 unit rumah.

“Kita menyasarkan untuk menjual rumah tersebut di bawah harga pasaran khususnya kepada ahli Koperkasa dan secara prinsip Premier Sarawak bersetuju untuk kita menghantar semula kertas cadangan kepada Jabatan Perancangan Negeri (SPA),” katanya.

Selain hartanah, Koperkasa akan terus meneroka pelbagai bidang dan projek bernilai tambah untuk menjana pendapatan sekali gus menyumbang semula kepada ahli-ahlinya.

Dengan perkembangan terbaharu itu, ia akan dapat memanfaatkan lebih 25,000 ahli Koperkasa berdaftar di seluruh Sarawak melibatkan penjawat awam negeri dan persekutuan.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru