Friday, December 2, 2022

261 rakyat Malaysia, mangsa sindiket tipu kerja diselamatkan

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Wisma Putra berjaya menyelamatkan 261 mangsa sindiket tipu kerja dalam  tempoh enam bulan dari empat buah negara dari April hingga September tahun ini, kata Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.

Menurut beliau, Wisma Putra telah menyelamatkan  mangsa pekerjaan  terbabit di Kemboja, Laos, Thailand dan Myanmar.

Jelasnya, paling banyak mangsa diselamatkan adalah di  Kemboja dengan 139 sudah pulang dan 56 dalam proses penghantaran pulang.

Daripada jumlah tersebut, Menteri Luar Saifuddin Abdullah berkata 171 individu telah pulang ke Malaysia manakala baki 90 lagi  menunggu pelepasan.

“Dalam empat negara, paling banyak Kemboja dengan 139 sudah pulang dan 56 dalam proses penghantaran pulang,” kata Saifuddin pada sesi soal jawab menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Saifuddin menjawab soalan Mohd Fasiah Mohd Fakeh (BN-Sabak Bernam) yang meminta kerajaan menyatakan tindakan yang diambil bagi membantu rakyat Malaysia yang menjadi mangsa penipuan pekerjaan di negara berkenaan.

“Malaysia melalui pegawai diplomatiknya akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa di negara terbabit untuk mencari dan menyelamatkan semua mangsa yang masih di bawah kawalan sindiket pekerjaan,” katanya.

Katanya lagi, tindakan yang diambil termasuk mendapatkan kerjasama dan bantuan daripada pihak berkuasa tempatan, serta memberikan bantuan konsular untuk membawa pulang pekerja yang diselamatkan itu.

 

 

 

 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru