Wednesday, November 30, 2022

Tiba masanya jentera parti digerak pantas, kata Zahid

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kini tiba masa jentera parti di seluruh pelosok tanah air bergerak lebih pantas, kemas dan tersusun bagi memenuhi aspirasi rakyat mengembalikan kestabilan, kemakmuran dan kesejahteraan Malaysia.

Tegas beliau usah perlu menoleh lagi dan terus mara, kerana masa tidak akan menunggu waima seminit mahupun sesaat amat berharga untuk memastikan negara kembali ke landasan yang sebenar.

“Alhamdulillah berkat kemuafakatan, kebersamaan dan perpaduan pimpinan UMNO telah mencapai sebuah kesepakatan yang amat penting demi rakyat, untuk negara dan parti keramat ini.

“Perdana Menteri akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran Parlimen kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selaras dengan Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan.

“Hampir lima tahun sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) negara berdepan dengan ketidakstabilan yang meruntuhkan segenap aspek dan kebaikannya, maka PRU-15 adalah peluang terbaik untuk bersama kita pulihkan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Tegasnya lagi UMNO sentiasa meletakkan keutamaan rakyat dalam apa jua keadaan.

“Insya-Allah segala ketetapan yang dibuat UMNO sentiasa meletakkan kepentingan rakyat di hadapan dengan penilaian dan perancangan yang rapi bagi sesebuah tindakan yang vital seperti PRU-15.

Segala dakyah, tohmahan dan propaganda musuh UMNO untuk menidakkan pentingnya PRU-15 diadakan tahun ini hanyalah satu bentuk alasan dan penciptaan persepsi yang berterusan bagi mengelak terpaksa berdepan penentuan kuasa rakyat.

“PRU-15 amat mustahak dilangsungkan sekarang untuk memastikan kerajaan yang lebih stabil, kukuh dan efisien dibentuk bagi membantu rakyat keseluruhan.

PRU-15 amat mustahak diadakan bagi memastikan pembentukan sebuah kerajaan yang berdaya untuk membentengi negara daripada impak kemelesetan ekonomi dunia yang diramalkan tahun depan.

“PRU-15 amat mustahak memastikan Kerajaan Persekutuan yang mentadbir negara tidak berdepan dengan tindakan sabotaj oleh musuh dalam selimut yang sentiasa berkepentingan politik.

PRU-15 amat mustahak untuk memastikan usaha pemulihan ekonomi negara dan kesejahteraan hidup rakyat dapat berjalan dengan lancar dan teratur secepat mungkin,” ujarnya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru