Wednesday, November 30, 2022

Teroka peluang dalam sektor oleokimia

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Pelabur harus meneroka peluang dalam sektor oleokimia berasaskan sawit di Malaysia memandangkan permintaan global untuk produk oleokimia semakin meningkat, kata Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Ketua Pengarah Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata permintaan global untuk produk nilai tambah seperti bahan kimia industri, nutraseutikal, kosmeseutikal, makanan tambahan dan produk farmaseutikal semakin meningkat sejajar dengan perubahan dalam aspek demografi dan sosial, peningkatan kekayaan serta kesejahteraan global berikutan kesan urbanisasi yang pesat.

Menurut laporan oleh firma penyelidikan pasaran IMARC Group, pasaran oleokimia global mencecah AS$22.5 bilion (AS$1=RM4.63) pada 2021.

Laporan itu menyatakan permintaan global untuk oleokimia dijangka meningkat kepada AS$33.9 bilion menjelang 2027, dengan kadar pertumbuhan tahunan terkompaun yang tinggi sebanyak 7.2 peratus sepanjang 2022-2027.

“Ini menunjukkan pasaran oleokimia global berkembang pesat dengan permintaan tinggi terhadap produk berasaskan oleokimia.

“Oleh itu, pelabur harus meneroka dan melabur dalam sektor oleokimia berasaskan sawit negara yang berpotensi tinggi, disokong oleh inisiatif penyelidikan dan pembangunan berterusan MPOB,” katanya dalam satu kenyataan kelmarin.

Ahmad Parveez berkata sebagai contoh, pelaburan di Sabah dan Sarawak mempunyai potensi besar untuk berjaya kerana pada masa ini tiada kilang oleokimia yang beroperasi di kedua-dua negeri itu.

Katanya pelabur mampu mendapat manfaat daripada bekalan minyak sawit dan minyak isirung sawit tanpa gangguan untuk penghasilan oleokimia.

Sarawak mempunyai kawasan tanaman sawit terbesar di Malaysia manakala Sabah adalah negeri pengeluar minyak sawit terbesar di negara ini.

Sehingga Ogos tahun ini, terdapat 50 buah kilang penapisan, 42 buah kilang pelumat isirung sawit dan 20 buah kilang oleokimia beroperasi di Malaysia.

Beliau berkata aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) MPOB bagi sektor hiliran oleokimia meliputi lapan bidang utama iaitu surfaktan, poliol dan poliuretana, kosmetik, agrokimia, bahan kimia seni, biopelincir, teknologi dan alam sekitar.

MPOB juga menyediakan kemudahan loji rintis dan bantuan teknikal untuk kajian kebolehlaksanaan dan menawarkan perkhidmatan kawalan dan penetapan kualiti.

Pelbagai produk oleokimia berasaskan sawit yang dihasilkan melalui aktiviti R&D MPOB dikomersialkan.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru