Sarawak kukuhkan infrastruktur digital

0
11

KUCHING: Sarawak berhasrat untuk mempercepatkan lagi pendigitalan sektor ekonomi dengan memanfaatkan teknologi digital serta mengukuhkan infrastruktur dan ketersambungan digital menjelang 2030.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi berkata, untuk mencapai sasaran tersebut, beberapa kunci penting harus diberikan fokus.

“Ia termasuk mewujudkan penyertaan digital yang Inklusif dengan meningkatkan capaian Internet daripada 83 peratus (2019) kepada 99.9 peratus isi rumah dan meningkatkan penyertaan sektor pendigitalan swasta kepada sekurang-kurangnya 50 peratus.

“Di samping meningkatkan kelajuan Internet pengguna daripada tiga hingga 10 kepada 20 hingga 100 megabit sesaat, mengurangkan kependaman daripada 200 milisaat kepada bawah 50 milisaat dan meningkatkan jumlah penggunaan lebar jalur dari satu terabit sesaat kepada 40 terabit sesaat.

“Serta mewujudkan gentian di sepanjang jalan pesisir untuk menjadi tulang belakang ketiga dan menyediakan akses ke kawasan pantai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mewakili Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari pada Perasmian Pavilion Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) sempena Smart Nation Expo 2022 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sementara itu katanya, ia merupakan penyertaan julung Sarawak dalam ekspo teknologi terbesar Malaysia yang disertai lebih 20,000 peserta dari 23 negara mengenai mobiliti pintar, 5G, bandar pintar, revolusi industri 4.0, teknologi, aplikasi baharu serta banyak lagi. Sarawak diwakili oleh SMA dengan kolaborasi Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) dan Sarawak Information Systems Sdn. Bhd. (Sains) memfokuskan terhadap inisiatif ekonomi digital negeri ini yang mula diperkenalkan sejak 2018.

“Acara ini juga akan memberikan peluang kepada delegasi Sarawak berkongsi maklumat dan pengetahuan dengan kerajaan serta pemain industri.

“Ini sekali gus mengukuhkan hubungan dan rangkaian terutamanya untuk mengenal pasti peluang dan potensi perniagaan baharu bagi menyokong agenda Ekonomi Digital Sarawak.

“Seterusnya, mempromosikan, menggalakkan dan memupuk hubungan perdagangan antara pelbagai peserta pameran ini,” ujarnya.

Tambahnya, strategi ekonomi digital pertama Sarawak (2018- 2022) yang dilancarkan pada Disember 2017, akan berakhir tahun ini yang merangkumi 47 tindakan strategik dalam lapan ekonomi sektor dan tujuh pemboleh.

“Sejak permulaan agenda ini, kita berjaya meningkatkan pembangunan ekonomi negeri melalui transformasi dalam beberapa sektor termasuk pertanian, kelapa sawit industri, e-dagang, kewangan dan fintech, kerajaan digital, bandar pintar, industri pelancongan, pembuatan dan perkhidmatan.

“Ia sekali gus menyokong cita-cita Sarawak mencapai negeri maju menjelang 2030 yang menyaksikan masyarakat berkembang didorong oleh data dan inovasi dengan rakyatnya menikmati kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan persekitaran yang mampan,” tegasnya.

Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) Datuk Liwan Lagang dan Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi turut hadir.