Wednesday, November 30, 2022

RM10,000 untuk pembeli rumah pertama di Sarawak, pinjaman bank lulus

Secara Rawak

KUCHING: Premier Sarawak bersetuju terhadap cadangan Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (SHEDA) supaya memberikan RM10,000 kepada pembeli rumah pertama yang pinjaman bank komersial telah diluluskan.

Menurut Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg,  bantuan ini merupakan skim deposit yang menyeluruh dan ia akan memberi kelebihan kepada bank kerana menjamin pembayaran semula.

Sementara itu, katanya Sarawak akan menubuhkan sebuah tribunal untuk mengurus serta menyelesaikan pertikaian strata membabitkan pembeli rumah dan pemaju.

Abang Johari berkata, tribunal strata harus ditubuhkan bagi menambah baik industri perumahan di negeri ini.

Jelasnya, tribunal berkenaan kelak akan menjadi platform untuk membincangkan serta melancarkan isu melibatkan perkara itu.

“Saya ingin berkongsi dengan anda bahawa kerajaan telah memutuskan untuk menubuhkan tribunal strata jika ada pertikaian di antara pembeli dan pemaju,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Sarawak Housing And Real Estate Developers Association (SHEDA) Property Expo 2022 di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), di sini pada Jumaat seperti dilapor TVS.

Dalam pada itu, Abang Johari berkata, beliau menjangkakan projek perumahan di Samalaju akan mendapat permintaan yang tinggi.

Ini kerana katanya, kerajaan negeri menjangkakan kemasukan ramai pelabur asing ke Bintulu, terutamanya Samalaju.

“Satu lagi isu amat penting yang saya ingin kongsikan bersama anda ialah, apabila ekonomi kita sudah bagus, orang akan melabur.

”Sekarang ada kekurangan rumah disebabkan oleh kemasukan pelaburan ke Bintulu, khususnya Samalaju,” jelas beliau.

 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru