Wednesday, November 30, 2022

Pasukan khas perinci setiap dakwaan Tommy Thomas

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Pasukan Petugas Khas Siasatan ke Atas dakwaan-dakwaan dalam buku bertajuk ‘My Story: Justice in the Wilderness’, tulisan  Tan Sri Tommy Thomas, bekas Peguam Negara telah membentangkan laporan siasatan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri semalam.

Menurut Perdana Menteri Datuk Sri Ismail Sabri, laporan tersebut telah disediakan oleh pasukan ini dalam tempoh sembilan bulan, bermula Disember 2021 sehingga Ogos 2022, dengan memperincikan setiap dakwaan yang disebut oleh Tommy dalam bukunya itu.

Katanya dalam satu kenyataan, berdasarkan siasatan yang telah dibuat, pasukan ini telah mengkategorikan 19 isu-isu penting yang dikesan dalam buku tersebut kepada empat (4) isu utama iaitu:

(i) Dakwaan ke atas Badan Kehakiman;

(ii) Pendedahan maklumat dan rahsia Kerajaan;

(iii) Tindakan tidak sah, salah guna kuasa dan kecuaian profesional; dan

(iv) Kenyataan berbaur hasutan.

“Pasukan Petugas Khas seterusnya telah mengemukakan beberapa syor untuk pertimbangan Kerajaan bagi tujuan tindakan susulan yang wajar diambil,” katanya.

“Sehubungan itu, saya telah mengarahkan agar siasatan lanjut segera dilaksanakan oleh agensi penguat kuasa berkaitan, bagi menyiasat kemungkinan salah laku oleh Tommy Thomas,” katanya lagi.

Menurut beliau lagi, siasatan akan dijalankan antaranya di bawah Seksyen 124I dan Seksyen 203A Kanun Keseksaan; Seksyen 4 Akta Hasutan 1948; Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972; dan Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009. 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru