Wednesday, November 30, 2022

Masyarakat jadi mata dan telinga polis

Secara Rawak

ASAJAYA: Masyarakat di daerah ini harus memainkan peranan sebagai mata dan telinga kepada polis dalam membanteras ancaman dadah, kecurian harta benda dan berwaspada dengan pelbagai bentuk penipuan.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak DCP Datuk Mancha Ata berkata, meskipun gejala penyalahgunaan dadah di Daerah Asajaya adalah terkawal namun masyarakat harus bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, berdasarkan statistik PDRM Sarawak dari Januari hingga Ogos 2021, sebanyak 40 kes dadah disiasat dengan pelbagai kesalahan dan melibatkan 46 tangkapan di Daerah Asajaya.

Mancha menyampaikan ucapan perasmian sempena Program Kepolisan Komuniti Kontinjen Sarawak Bersama Komuniti Daerah Asajaya di Kompleks Sukan Asajaya.

Sementara beliau berkata, dalam tempoh yang sama tahun ini, sebanyak 44 kes disiasat dan melibatkan 54 tangkapan.

“Kejayaan ini adalah hasil usaha keras dan berterusan PDRM Sarawak Amnya dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan khasnya yang sentiasa berusaha keras melancarkan operasi sepanjang masa bagi membendung masalah dadah di Daerah Asajaya.

“Kita akan lebih berjaya untuk membanteras masalah dadah di daerah ini sekiranya tuan-tuan dan puan-puan memainkan peranan sebagai mata dan telinga PDRM,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Kepolisan Komuniti Kontinjen Sarawak Bersama Komuniti Daerah Asajaya di Kompleks Sukan Asajaya, di sini hari ini.

Justeru, Mancha berkata, semua lapisan masyarakat tidak menyerahkan usaha itu sepenuhnya kepada pihak polis semata-mata.

Dalam pada itu, beliau turut meningatkan masyarakat agar bertanggungjawab akan harta benda diri dan harta benda orang lain.

Katanya, Daerah Asajaya mencatatkan penurunan kes jenayah harta benda iaitu sebanyak 36 kes sepanjang Januari hingga Ogos tahun.

Berbanding tempoh yang sama tahun lepas, beliau memberitahu, sebanyak 45 kes dilaporkan di daerah ini.

Dalam masa yang sama, beliau turut mengingatkan masyarakat agar tidak mudah terpedaya dengan pelbagai taktik penipuan seperti penipuan dalam talian, Macau Scam, pinjaman dan pelaburan tidak wujud dan lain-lain bentuk penipuan.

Mancha berkata, di Daerah Asajaya, terdapat peningkatan sebanyak dua kes iaitu enam kes dilaporkan sepanjang Januari hingga Ogos tahun ini berbanding empat kes dilaporkan tempoh yang sama tahun lepas.

“Justure, PDRM Sarawak sentiasa berusaha untuk memberi kesedaran kepada orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan pelbagai jenis penipuan,” ujarnya.

Melalui ceramah yang disampaikan pada program tersebut, beliau berharap ia dapat memberi penjelasan dan kefahaman kepada masyarakat agar dapat berkongsi ilmu dan pengetahuan dalam isu berkaitan dadah, jenayah dan ancaman jenayah siber secara menyeluruh.

Turut hadir Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Senior Asisten Komisioner Lukas Aket, Ketua Polis Daerah Kota Samarahan Deputi Superintendan Brodie Brangka, Pegawai Daerah Asajaya Rais Ahmat, pegawai-pegawai polis dan ketua masyarakat.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru