Malaysia lenyap: Bukti DAP rasis, kata Pas

0
13
Khairil Nizam Khirudin/ Gambar fail

KUALA LUMPUR: Tuduhan Penasihat DAP, Lim Guan Eng kononnya PAS rasis dan Malaysia akan lenyap  jika Perdana Menteri PAS berkuasa cukup membuktikan kedangkalan parti chauvinis itu.

Menurut Ketua Penerangan PAS, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin  dalam satu kenyataan, seluruh rakyat Malaysia mengetahui patung Buddha terpanjang di Asia masih wujud dan baik terpelihara di bawah kerajaan Kelantan yang diterajui PAS.

Malah katanya, sewaktu PAS menguasai Terengganu pada 1999, cukai gerbang Kampung Cina turut dihapuskan PAS, sekali gus mengukuhkan hubungan baik masyarakat Melayu dengan Cina di Terengganu dan Kelantan.

“Sebaliknya, DAP jelas memiliki rekod buruk lagi hina dalam isu-isu membabitkan Islam dan masyarakat Melayu di Malaysia.

“Antaranya perlembagaan DAP sendiri jelas menyebut dalam Perkara 2 Matlamat-matlamat DAP adalah untuk ‘mengesahkan lagi dan memulihkan Perlembagaan Malaysia kepada rangka kerja ‘sekular’ yang asal’ ,” kata Khairil Nizam dalam satu kenyataan.

Menurutnya, hal berkenaan sahaja sudah membuktikan dan membuka pekung dada DAP yang cukup anti kepada Islam dan Melayu.

Katanya lagi, DAP tidak pernah menyembunyikan permusuhan mereka terhadap cadangan meminda Akta Mahkamah Syariah (RUU 355) dengan pelbagai alasan.

Sedangkan katanya, RUU 355 hanya sekadar mahu meningkatkan kadar hukuman yang boleh dikenakan ke atas penganut Islam atas kesalahan syariah sahaja.

“Sejarah membuktikan ketika berkuasa melalui Rejim PH, DAP kuat menyokong supaya konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) diratifikasi, langkah yang jelas bakal mengganggu-gugat keharmonian antara masyarakat pelbagai kaum sejak merdeka hingga ke hari ini.

“Lim Kit Siang menuduh khutbah Jumaat disediakan JAKIM sebagai menyebarkan kebencian dan mencabar usaha ke arah keharmonian.

“Pengerusi Wanita DAP, Chong Eng pula mengkritik khutbah Jumaat berkait kewajipan wanita Muslim menutup aurat.

“Timbalan Setiausaha Agung DAP, Dr P Ramasamy pula pernah menggelar pendakwah Islam, Dr Zakir Naik sebagai ‘syaitan’,” katanya.

Selain itu katanya, DAP pernah mempersoalkan di Dewan Rakyat pada 27 September 2005 tentang keperluan melaungkan azan dan bacaan ayat al-Qur’an melalui pembesar suara.

Tindakan itu dikatakan DAP mengganggu penganut bukan Islam, terutama pada waktu Subuh. Antara yang disebut Guan Eng adalah, “bahkan juga 1,500 tahun yang lampau mana ada pembesar suara?”

“DAP juga pernah mengundang murka Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 2014 apabila enggan mengemukakan lebih daripada dua nama untuk calon Menteri Besar Selangor susulan Langkah Kajang. Ini tidak termasuk banyaknya lagi celupar pro-DAP terhadap institusi Istana.

“DAP sememangnya terkenal dengan rekod membentak dan ingkar kepada Raja-raja Melayu. Antaranya mengenai isu pelantikan Menteri Besar Perak apabila Lim Kit Siang yang menyeru agar Adun DAP memboikot upacara mengangkat sumpah kerana tidak setuju perkenan Almarhum Sultan Azlan Shah yang melantik Adun PAS sebagai Menteri Besar pada 2008,” katanya.

Tambahnya lagi, DAP juga memiliki rekod melampau dalam isu aurat, contohnya apabila Nga Kor Ming telah menyindir purdah yang dipakai oleh sebahagian wanita Islam.