Lonjak daya saing negeri

0
10
ROZAINI Mohammad bergambar bersama-sama yang lain selepas merasmikan Bengkel Perancangan Strategik Peningkatan Produktiviti Sarawak Di Kompleks MPC Wilayah Sarawak.

KUCHING: Bengkel Perancangan Strategik Peningkatan Produktiviti Negeri Sarawak bertujuan untuk melihat prestasi produktiviti ekonomi di Sarawak.

Ia bagi memahami perkaitan antara produktiviti sektor ekonomi dengan pencapaian matlamat menerusi Pelan Strategi Pembangunan Pasca-Covid-19 2030 (PCDS30).

Pemangku Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Sarawak (EPU) Rozaini Mohammad Zahir berkata, ia juga bagi melonjakkan pertumbuhan produktiviti dan daya saing negeri.

“Justeru, kita menyokong usaha Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) yang mencadangkan untuk menerbitkan Laporan Produktiviti Sarawak.

“Laporan ini akan menilai prestasi produktiviti dan daya saing Sarawak serta mengesyorkan inisiatif peningkatan produktiviti.

“Ia bersifat makro, memberi tumpuan bagi memahami prestasi produktiviti Sarawak, di samping mencadangkan bidang tumpuan produktiviti yang akan menyokong PCDS30,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Bengkel Perancangan Strategik Peningkatan Produktiviti Negeri Sarawak di Kompleks MPC, di sini, kelmarin.

Kata Rozaini, laporan tersebut dijangka siap pada penghujung tahun ini, sekitar bulan November.

Menurutnya lagi, rangka kerja yang dibangunkan dijangka memberi impak yang baik kepada persekitaran perniagaan dan ekosistem peraturan di Sarawak.

Di bawah PCDS30 dan Pelan Tindakan dan Pelaksanaan (AIP) PCDS 2030, enam sektor ekonomi utama sebagai pemacu pertumbuhan dan disokong dengan tujuh pemboleh ubah dikenal pasti dan akan dibentangkan dalam bengkel tersebut.

“Enam pemacu tersebut termasuk pertanian komersial, pelancongan, pembuatan, perhutanan, perkhidmatan sosial dan perhubungan.

“Manakala tujuh pemboleh ubah adalah transformasi digital, inovasi, infrastruktur asas pengangkutan, utiliti, tenaga boleh diperbaharui, pendidikan dan pembangunan modal insan,” katanya ringkas.

Ujarnya, usaha ini penting untuk mencapai aspirasi Sarawak untuk menjadi sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030.