Wednesday, November 30, 2022

Kepakaran, pengalaman pesara kerajaan diperlukan di Sarawak

Secara Rawak

KUCHING: Kepakaran dan pengalaman pesara kerajaan di negeri ini diperlukan bagi memastikan matlamat Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) mampu dicapai, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Berbaki lapan tahun lagi menjelang PCDS 2030, beliau berkata pesara kerajaan yang dilihat berkebolehan untuk menyumbang idea dan tenaga mungkin akan dipanggil semula bagi membantu kerajaan negeri mencapai objektif dan dasar yang telah dirangka.

“Kerja kita banyak, sebab itu sesiapa yang bersara mungkin kena tarik balik dan kita minta untuk membantu lagi dari sudut kapasiti berbeza contohnya pendidikan. Anda boleh memberi kesedaran dalam kalangan komuniti mengenai itu.

“Kalau anda (pesara) rasa boleh menyumbang dan saya juga rasa anda boleh menyumbang, jadi boleh pertimbangkan sekiranya dipanggil semula. Saya minta jasa sumbangan anda bagi memastikan objektif 2030 dizahirkan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Sekalung Budi: Sarawak Civil Service yang dihadiri pesara dan penjawat awam negeri, semalam seperti dilapor Bernama.

Abang Johari berkata perkataan ‘pencen’ tidak seharusnya wujud untuk pesara kerajaan.

Mengulas mengenai PCDS 2030, beliau berkata pasukan dari Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) yang diketuai pengerusi baharu Lembaga Pemegang Amanah Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob dan Pengerusi Tan Sri Mohd Effendi Norwawi telah berjumpa dengannya dan mencadangkan agar satu pasukan petugas khas diwujudkan bagi melaksanakan strategi itu.

“Mereka menyedari mengenai PCDS kita dan memaklumkan bahawa ia rancangan yang sangat tersusun. Mereka memberitahu saya mereka berharap pemimpin Persekutuan akan melakukan perkara yang sama,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut meminta agar penjawat awam di Sarawak berganding bahu dengan pemimpin negeri dalam memastikan polisi negeri itu untuk menjadi ekonomi berpendapatan tinggi tercapai menjelang 2030.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru