Wednesday, November 30, 2022

Hadi tolak dakwaan Pas bermain banyak kolam

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Presiden Tan Sri PAS Abdul Hadi Awang menolak dakwaan PAS cuba bermain banyak kolam dalam usaha menyatukan semua parti Melayu Islam.

Kenyataan Hadi ini menyusul pertemuannya dengan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin pada Isnin lalu yang mendakwa beliau diberi bayangan PAS akan membuat keputusan muktamad untuk memutuskan hubungan dengan Umno dalam tempoh terdekat.

Umno sebelum ini bertegas tidak akan bekerjasama dengan Bersatu pada PRU15, manakala Muhyiddin melabelkan BN sebagai musuh utama PN.

Pada asalnya Pas bekerjasama dengan Umno, tetapi kemudiannya menjalin kerjasama dengan Bersatu pula.

Menurut Abdul Hadi dalam satu kenyataan, agenda perpaduan ummah perlu membabitkan semua parti utama Melayu Islam, termasuk Umno dan Bersatu, diikuti pembabitan bukan Islam yang tidak ekstrem dalam konteks menyatukan masyarakat majmuk di bawah pimpinan Islam.

“Ada pun kumpulan Islam itu tidak hanya PAS dan Umno saja tanpa Bersatu dan lain-lain. Begitulah juga tidak hanya PAS dan Bersatu saja tanpa Umno dan lain-lain.

“Kalau hanya PAS dan Umno saja atau PAS dan Bersatu saja, maka (ia) tidak memenuhi ciri-ciri perpaduan umat, dan hanya bertujuan politik yang terbatas dan tidak sempurna. Jika tanpa golongan bukan Islam yang tidak ekstrem pula, maka tidak terlaksana mesej Islam yang adil kepada seluruh manusia,” ujarnya.

“Justeru, mana-mana pihak yang menolak usaha penyatuan ini boleh dikira melampau terhadap usaha perdamaian dan akan dikeluarkan daripada pakatan perpaduan ummah,” kata Ahli Parlimen Marang itu.

Jelasnya, kumpulan Islam yang memimpin tidak boleh terikat kepada satu bangsa saja.

“PAS wajib mengambil teladan daripada Sunnah Nabawiyyah dalam sirahnya, dengan menjadikan agenda perpaduan umat Islam dan mesejnya kepada seluruh umat manusia bermasyarakat majmuk.

“Langkah ini bermula dengan perpaduan umat Islam yang memimpin dengan mengumpulkan semua kumpulan Islam daripada berbagai-bagai jemaah atau parti. Kemudiannya, disertai oleh kumpulan bukan Islam yang tidak ekstrem dalam konteks masyarakat majmuk.”

 

 

 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru