Wednesday, November 30, 2022

Bangkit walau ditekan dalam serba kekurangan

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa UMNO bangkit walaupun dalam serba kekurangan dan berdepan tekanan hebat sang penguasa yang berusaha membuat `pukulan terakhir’.

Ini kerana katanya, UMNO adalah rakyat dan rakyat adalah UMNO dalam pengertian sebuah perjuangan luhur demi agama, bangsa dan tanah air tercinta.

“Saksikan betapa UMNO yang pernah dinaratifkan sebagai sudah tiada dan lenyap, ‘Innalillahi wainna ilaihi raajiun’ terus mara dengan penuh semangat juang sehingga hari ini.

“Parti politik yang tidak pernah senang dan sakit hati dengan parti keramat ini, sentiasa mendabik dada akan menggantikan UMNO selepas dipropagandakan sudah `berkubur’ mencari jalan untuk UMNO bersubahat bersama mereka.

“Itu pun selepas mereka terlebih dahulu gagal untuk ‘hijack’ dengan mengambil alih UMNO bagi diperkudakan untuk kepentingan politik mereka,” katanya menerusi kenyataan dalam laman Facebooknya.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, selangkah demi selangkah UMNO yang pernah tewas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 angkara pembohongan dan persepsi jahat musuh politik bangkit semula.

“Kita menzahirkan setinggi kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana menyaksikan kebangkitan UMNO selepas sejarah hitam Malaysia 9 Mei 2018 berlalu.

“Berkat keyakinan, kesungguhan, dan kepercayaan seluruh keluarga besar UMNO, bersatu padu bersama mendepani memintas cabaran demi cabaran. Benar laluannya agak berliku. Dalam tempoh lebih empat tahun lalu, andai disingkap penuh ranjau menguji istiqamah serta kesabaran kita semua,” ujarnya.

“Bermula dengan pembelotan, desakan bubar UMNO, pendakwaan terpilih, ancaman pendaftaran UMNO dibatalkan dan seumpamanya. Namun alhamdulillah itu semua tidak pernah menjadi halangan kepada mereka yang setia kerana bagi kita, UMNO adalah parti keramat yang harus untuk kita bersama perjuangkan,” katanya lagi.

Sesungguhnya kata Ahmad Zahid, segala kisah suka dan duka UMNO harungi bersama sejak peristiwa hitam 2018 melanda negara menjadi catatan sejarah yang mendewasakan semua.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru